Zakir Naik boleh sertai Malam Islam Bersatu jika tak beri ceramah
PUTRAJAYA– Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu dengan
Dong Zong Johor dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) esok, bagi
membincangkan isu pembatalan pendaftaran persatuan di bawah Persekutuan
Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
itu.
Katanya, beliau difahamkan pembatalan
Dong Zong Johor disebabkan oleh masalah pengurusan yang tidak mematuhi
peraturan-peraturan di bawah RoS.
“Saya telah diberi satu laporan dan esok
mereka akan hadir, saya akan jemput RoS bersama-sama dan lihat apa yang
boleh dilakukan. Mana yang boleh kita perbetulkan, kita perbetulkan,”
katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam
Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Pada Ahad lepas, Dong Zong dilaporkan
mengemukakan surat rayuan kepada KDN berhubung pembatalan pendaftaran
Dong Zong Johor oleh RoS negeri itu.
Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low
Chee Chong dilaporkan berkata, Dong Zong pada 20 Ogos lepas menerima
surat pembatalan bertarikh 8 Ogos daripada Pengarah RoS Johor, dengan
alasan tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan
persatuan berkaitan pembabitan guru.
Mengenai isu pendakwah kontroversi Dr
Zakir Naik yang dijemput ke sebuah program di Melaka pada Sabtu ini,
Muhyiddin berkata, tiada halangan untuk pendakwah itu menyertai program
berkenaan jika beliau tidak menyampaikan ceramah.
Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh
Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah bahawa Dr Zakir
dibenarkan hadir, kerana beliau hanya akan turut serta untuk solat
bersama-sama jemaah.
“Kami tidak akan mengawalnya 100 peratus.
Kalau hendak sembahyang, ikut majlis itu tiada sesiapapun boleh sekat
dan halang,” katanya.
Semalam, Raja Shahrom dilaporkan berkata,
tiada halangan terhadap program Malam Islam Bersatu yang akan diadakan
di Masjid Cina Melaka di Krubong pada Sabtu ini, yang turut dihadiri Dr
Zakir.
Exco Perindustrian, Perdagangan dan
Pelaburan negeri Malaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebelum ini
berkongsi poster program berkenaan memaklumkan bahawa Dr Zakir akan
menyertai solat berjemaah dan ibadah sunat di masjid it,u yang
kemudiannya dipertikai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh,
Kerk Chee Yee. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan