Ejen sindiket cari warga asing yang mahu dapatkan kewarganegaraan
GEORGE TOWN– Seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau
Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di
Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 32 pertuduhan berhubung sindiket
pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara
tidak sah kepada warga asing.
Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd
Faizul Arifin, 34, bersama empat lelaki Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan
Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66,
masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E
Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, manakala ahli
perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, dituduh atas tiga pertuduhan utama
mengikut seksyen yang sama.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan
daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dan pengakuan
mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi.
Mohd Faizul turut didakwa atas empat
pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta lima
pertuduhan mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing.
Lai, Loh dan Yap juga masing-masing
dituduh atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad
pengenalan serta bersubahat dengan Mohd Faizul, bagi tujuan pemalsuan
dokumen itu manakala Chien berdepan empat pertuduhan sama.
Kesemua pertuduhan itu dibacakan secara
berasingan di dua mahkamah di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan
Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Bagi dua pertuduhan utama, Mohd Faizul
didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan
kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu
perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang
Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga
Februari 2019.
Loh, Chien, Yang dan Mohd Faizal Tan
masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama menjual sijil kelahiran
dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George
Town pada tempoh yang sama.
Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan
utama menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe
Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.
Untuk kesemua pertuduhan itu, mereka
masing-masing didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang
dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman
penjara minimum tujuh tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta boleh
dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
Sementara itu, Mohd Faizul mengaku tidak
bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad
pengenalan masing-masing atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu di Ibu
Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di
sini, antara bulan Januari hingga Mei 2019.
Lai, Loh dan Yap juga mengaku tidak
bersalah atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad
pengenalan atas nama Ewe Chor Beng serta bersubahat dengan Mohd Faizul,
bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari
hingga Februari 2019.
Chien pula mengaku tidak bersalah atas
empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan
masing-masing atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu serta bersubahat
dengan Mohd Faizul, bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang
sama antara Januari hingga Mei 2019.
Untuk kesemua pertuduhan itu, kesemua
tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama
Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum
penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah
atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan
Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama Tan
Xiu Xiu, Lim Hock Eng, Ewe Chor Beng, Yang Xiaohong dan Pheh Jin Leong
di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan
Anson, di sini, antara 20 September 2018 hingga 3 Mei 2019.
Bagi kesemua pertuduhan itu, jika
disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum
tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tiada
jaminan terhadap kesemua tertuduh, dan menetapkan 18 September ini untuk
sebutan semula kes bagi semua tertuduh.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa
Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer
Abdul Karim dan dibantu Mohd Amril Johari, Noor Azura Zulkiflee, Farah
Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan Shafiq Sazali.
Mohd Faizul diwakili peguam Sukhindarpal
Singh, Chien dan Mohd Faizal Tan diwakili peguam Datuk Ranjit Singh
Dhillon, Loh dan Yap diwakili peguam Lee Kean Wooi manakala Lai diwakili
peguam Dr N. Ahilan.
Semalam, polis mendedahkan penahanan 20
individu termasuk seorang pegawai JPN Pulau Pinang yang disyaki terbabit
dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara
tidak sah.
Siasatan mendapati ejen sindiket akan
mencari warga asing yang ingin mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dan
proses akan diuruskan oleh seorang individu di JPN Pulau Pinang, selain
dipercayai sindiket itu memperoleh bayaran antara RM100,000 sehingga
RM600,000 daripada warga asing. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan