Ahad, 11 Ogos 2019

Ribut jejaskan 1,000 pelancong di lapangan terbang P Pinang

Tangkap layar video dari menara kawalan lapangan terbang 
Pulau Pinang menunjukkan angin kuat merosakkan bumbung 
bangunan utama.
 
GEORGE TOWN: Ribut pada Jumaat lalu menyebabkan 21 penerbangan ditangguhkan dan 2 lagi dibatalkan selain merosakkan bumbung terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan, Malaysia Airports berkata kelewatan dan pembatalan penerbangan di lapangan terbang itu menjejaskan lebih 1,000 pelancong pada malam kejadian.

Mereka yang terjejas diberikan penginapan di sebuah hotel.

“Lapangan terbang melakukan kerja pembersihan dan pembaikan selepas ribut melanda pulau itu pada malam Jumaat.

“Walaupun berlaku kerosakan di lapangan terbang, kami gembira kerana tiada penumpang yang cedera dalam kejadian itu.

“Beberapa kerosakan berlaku termasuk sebahagian bumbung, siling, pintu kaca dan papan tanda yang rosak, kereta juga dilaporkan rosak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Ia berkata pembersihan menyeluruh terminal dan landasan dilakukan segera untuk membersihkan serpihan akibat ribut.

Pada Jumaat, hujan lebat dengan angin kencang hampir 50km/j melanda kebanyakan bahagian Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menyebabkan banyak pokok tumbang yang merosakkan harta benda.

Bumbung terminal berlepas lapangan terbang, berhampiran Gate B7, ditiup angin kencang. Kejadian itu dirakam menerusi video oleh pekerja dari menara kawalan.

Salah satu pintu kaca automatik terminal juga rosak.

Tiada ulasan: