Ahad, 11 Ogos 2019

Musykil kecederaan Allahyarham sebab kereta tak rosak

Kumara Sabapatty
MGF11082019_Pengkebumian-Arwah-Syed-Muhammad-Danial-Syed-Syakir_23
Mohd Rozhan Ramli bercakap kepada media selepas selesai pengkebumian menantunya, Allahyarham Muhammad Danial Syed Syakir di Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Mahkota Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

BANGI – Pemergian Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, yang meninggal dunia dilanggar kereta selepas kejadian perselisihan faham dengan pemandu lain di susur Bandar Baru Bangi semalam, memberi kesan kesedihan amat mendalam terhadap ahli keluarganya.

Lebih-lebih lagi tentang masa depan bayi perempuannya yang belum sempat mengenali wajah dan mendapat kasih sayang daripada ayahnya.

Kematian Allahyarham secara mengejut dalam keadaan sedemikian adalah sesuatu tidak dijangkakan oleh ahli keluarganya.

Namun, bapa mertuanya, Mohd Rozhan Ramli berkata, mereka redha dan menyerahkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa polis untuk menyiasat tragedi yang menimpa menantu kesayangannya itu.

“Saya terima keadaan ini (pemergian Muhammad Danial) dan serah kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan. Saya berharap kematiannya dapat keadilan sewajarnya.

“Cuma kami sekarang sangat sedih keadaan bayi perempuan dia baru 4 bulan tidak sempat merasai ciuman dan dakapan arwah. Jadi saya perlu menguatkan diri demi cucu dan anak perempuan saya demi kelangsungan hidup dan masa depan cucu saya.

“Anak perempuan saya (balu arwah) tenang menerima pemergiannya dan kita sebagai Islam menerima qadak dan qadar, sebagai ibu bapa kami yang perlu tabah dan kuatkan diri demi masa depan anak cucu,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas upacara pengkebumian Allahyarham di Tapak perkuburan Islam Seksyen 6, Bandar Bukit Mahkota di sini.

Mohd Rozhan berkata, Allahyarham merupakan anak yang baik dan begitu menghormati orang tuanya.

“Menantu ini (Muhammad Danial) adalah seorang Hafiz yang hafal al-Quran, sangat hormati orang tua.

“Walaupun dia tinggal dengan saya di sini Bandar Putra,  setiap minggu dia tak pernah lupa bawa keluarga kecil mereka jumpa emak dia Shah Alam dan itu rutin setiap Jumaat selama lebih setahun ini,” katanya sambil sebak mengenangkan arwah.

Menurutnya, arwah dan isterinya menuntut bersama di United Kingdom sebelum mendirikan rumah tangga dan kedua-duanya bekerja sebagai pengurus bank.

“Arwah bekerja sebagai pengurus di Ibu Pejabat Maybank di Jalan Tun Perak manakala anak saya (balu arwah) Pengurus bank United Oversea Bank (UOB) di Jalan Melaka,” katanya.

Ditanya mengenai insidennya , Rozhan berkata, beliau mendapat tahu mengenai kemalangan yang menimpa menantunya lebih kurang 2 petang semalam dimaklumkan oleh jirannya yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

“Anak bongsu saya menerima berita dari jiran bahawa abang Danial iaitu menantu saya terlibat dalam kemalangan.

“Jadi dua anak saya segera bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengejarnya ke klinik kesihatan Bandar Sri Putra. Malangnya klinik ditutup dan sejurus saya tiba di lokasi didapati mangsa sudah dibawa ke Pusat Perubatan Nilai.

“Saya sempat melihat keadaan kenderaan dan tidak ada sebarang pelanggaran serius dan apabila tiba di hospital dan berjumpa doktor, pakar perubatan itu mengesahkan Danial mengalami kecederaan dalaman dan di kepala,” ujarnya.

Beliau menyatakan kemusykilannya kepada doktor kerana kenderaannya tidak mengalami kerosakan.

“Jadi doktor yang terkejut dengan kenyataan saya terpaksa buat laporan polis, mengesyaki hentaman kuat pada mangsa dan cuba merawat Muhammad Danial.

“Namun lebih kurang sejam kemudian menantu saya pergi meninggalkan kami semua,” ujar beliau.

Katanya, semasa kejadian arwah dalam perjalanan balik ke Bandar Bukit Mahkota dengan membawa piza.

“Saya terjumpa Pizza yang dibelinya dalam keretanya di lokasi kejadian semalam,’ katanya sebak. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: