Ahad, 11 Ogos 2019

Tabung amanah Teoh Beng Hock mahu 10 pegawai SPRM disiasat kerana membunuh


Jurucakap Teoh Beng Hock Trust for Democracy Ng Yap Hwa 
berkata, pihak berkuasa saling melepaskan tanggungjawab 
antara satu sama lain.
 
PETALING JAYA: Kumpulan yang bekerja untuk mendapatkan keadilan untuk mendiang petugas politik Teoh Beng Hock menggesa polis menyiasat 10 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas pelbagai kesalahan di bawah Kanun Kesiksaan, termasuk membunuh.

Jurucakap Teoh Beng Hock Trust for Democracy Ng Yap Hwa berkata, pegawai terbabit harus disiasat kerana antara lain, menutupi kematian Teoh, bersubahat dan cuba menutupi kematian, memberi keterangan palsu dan memusnahkan bukti.

Dalam satu laporan polis yang dibuat di ibu pejabat polis daerah di sini hari ini, Ng menggesa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyiasat dan mendakwa 10 individu berkenaan.

Pada 2009, Teoh yang merupakan pembantu exco kerajaan negeri Selangor Earn Yong Hian Wah, pada masa itu, ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam beberapa jam selepas beliau disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabatnya di tingkat 14 bangunan yang sama.

Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan berikutan insiden itu mendapati Teoh terdorong untuk membunuh diri susulan kaedah penyiasatan agresif yang digunakan oleh pegawai SPRM.

Ia juga mempersalahkan 3 pegawai agensi itu kerana kaedah agresif mereka yang menurutnya melanggar prosedur.

Tabung amanah itu mengenal pasti 7 lagi pegawai lain berdasarkan penghujahan kepada Majlis Peguam dari 2011, termasuk bekas timbalan ketua SPRM Selangor dan ketua pegawai penyiasat.

Ng berkata, kumpulannya tidak berpuas hati kerana agensi kerajaan berkaitan saling “melepaskan tanggungjawab antara satu sama lain tanpa akauntibiliti”.

Beliau juga mengambil maklum bahawa Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, peguam negara akan memberi respons terhadap isu itu.

“Bagaimanapun beberapa minggu lepas, Peguam Negara, Tommy Thomas memberitahu adik perempuan Teoh Beng Hock, Lee Lan bahawa polis bertanggungjawab menyiasat kes tersebut dan menentukan haluan penyiasatannya,” kata beliau.

Menurut Ng, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya juga enggan memulakan tindakan disiplin dalaman ke atas pegawai beliau dengan berkata, polis bertanggungjawab menyiasat individu yang didakwa terlibat.

Tahun lepas, polis menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara supaya menjalankan siasatan lanjut ke atas kematian Teoh selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Bagimanapun mereka menyiasat insiden itu di bawah tahanan salah, bukannya homisid salah, hatta selepas Mahkamah Rayuan menolak keputusan terbuka Mahkamah Koroner pada September 2014 dan memutuskan bahawa kematian Teoh adalah disebabkan jatuh yang berpunca atau didorong oleh perbuatan salah orang yang tidak dikenali.

Hari ini, Ng juga menyerahkan kepada polis keterangan daripada semua dapatan mahkamah ke atas kematian Teoh, termasuk inkues 2009 dan penghakiman Mahkamah Rayuan.

Katanya, dengan laporan terbaru itu, KPN harus mengarahkan satu penyiasatan baru di bawah Seksyen 302 (kerana membunuh) atau 304 (kerana homisid salah) Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: