Jumaat, 16 Ogos 2019

Ibu jari ketua polis Besut ditetak pesakit mental disambung semula

Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor (kiri) melawat 
Mohd Zamri Mohd Rowi dan menyampaikan sumbangan kepada 
isteri mangsa, Azini Mamat, di HUSM, Kubang Kerian hari ini. 
(Gambar Bernama)
 
KOTA BHARU: Doktor pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berjaya menyambung semula ibu jari kanan Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi yang terputus ketika ditetak seorang pesakit mental semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor.

“Saya diberi taklimat oleh doktor yang memaklumkan beliau stabil dan kini dalam pemerhatian doktor.

“Alhamdulillah, dalam pembedahan selama 17 jam sejak petang semalam, pakar perubatan berjaya menyambung semula ibu jari yang putus itu,” katanya selepas melawat Zamri di ICU HUSM hari ini.

Zamri luka di belakang kepala dan putus ibu jari kanan selepas diserang seorang lelaki menggunakan parang di rumahnya di Kampung Padang Luas, Besut, pada 12.50 tengah hari semalam.

Mazlan berkata, tiada unsur jenayah lain dikaitkan dengan serangan semalam.

“Suspek direman 7 hari bermula hari ini dan kes itu tidak menjurus kepada gangguan keselamatan penjawat awam khusus kepada ketua polis daerah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pakar perubatan HUSM yang berjaya menyambung semula ibu jari Zamri.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kesihatan HUSM, Prof Dr Ahmad Sukari Halim berkata, ketika ini, pakar sedang memantau ibu jari Zamri selepas pembedahan agak rumit.

Isteri Zamri, Azini Mamat, 51, enggan mengulas keadaan suaminya.

Tiada ulasan: