Jumaat, 16 Ogos 2019

Hujan lebat punca banjir kilat di Subang Jaya

Keadaan banjir kilat di Subang Jaya yang menjejaskan beberapa 
kereta orang awam. (Gambar Facebook)
 
PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata antara punca kejadian banjir kilat yang melanda Subang Jaya dan USJ semalam adalah disebabkan hujan lebat dalam tempoh yang singkat.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata keadaan itu menyebabkan parit utama di Persiaran Subang ke Sungai Klang mengalir dengan kelajuan yang tinggi.

“Manakala aliran air di ‘secondary’ parit utama Persiaran Murni, Perpaduan dan Jalan Mulia mengalami kehilangan tenaga (headloss).

“Oleh sebab itu, kejadian banjir kilat berlaku di Persimpangan Persiaran Kewajipan, Perpaduan serta Tujuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, kawasan Subang Jaya mengalami hujan lebat bermula jam 4.15 petang sehingga 6.30 petang, mengakibatkan beberapa kawasan di SS dan USJ mengalami banjir kilat dan kesesakan trafik yang teruk.

Azfarizal berkata dianggarkan 10 kenderaan terkandas, namun berdasarkan laporan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, USJ 8 hanya satu laporan rasmi diterima setakat ini.

“MPSJ juga menerima aduan sebanyak 6 kes pokok tumbang dan 3 kerosakan bumbung rumah di kawasan kejadian.

“Susulan kejadian itu juga, MPSJ mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan bantuan yang terdiri daripada Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Landskap dan Jabatan Penguatkuasa untuk pemantauan, pencegahan dan tindakan pemulihan kecemasan dan bencana,” katanya.

Tiada ulasan: