PARTI Amanah Negara (AMANAH) berpegang kepada perjanjian awal penubuhan Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-8.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub berkata, keputusan itu juga sudah termaktub, yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ke-7 dan Anwar pula sebagai penggantinya.
“Ketika menubuhkan PH, kita menerima Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH maka dalam perbahasan itu kita sudah bersama-sama secara konsensus menulis perjanjian bahawa Perdana Menteri (PM) ke-7 adalah Tun Dr Mahathir pada ketika itu dan PM Ke-8 adalah Anwar.
“Jadi (masalah) tak timbul dan itulah perjanjian yang kita pegang sehingga hari ini. Tak timbul (juga) masalah nak fikir kembali atau membuat cadangan baru.
“Perjanjian itu masih kekal dan AMANAH, pastikan kita masih berpegang kepada perjanjian,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan kali ke-3 Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Parit di Seri Iskandar, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi dan Naib Pengerusi PKR Perak merangkap Ketua PKR Cabang Parit, Mohamad Anuar Zakaria.
Bagaimanapun Salahuddin berkata, tempoh peralihan jawatan berkenaan tidak dibincangkan secara terperinci.
“Tetapi menamakan PM ke-8 itu jelas termaktub dalam perjanjian yang disaksikan oleh pimpinan tertinggi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), AMANAH, PKR dan DAP,” katanya
Menurutnya, penjelasan itu dibuat selepas ada pihak terutama di peringkat kepimpinan yang mahu AMANAH mengemukakan pendirian mengenai perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan