Ahad, 18 Ogos 2019

Ambil kembali, atau permudahkan...

Md Fuzi Abd Lateh
 
 

SEORANG suri rumah merayu agar ibu kandung kepada kanak-kanak berusia enam tahun yang ditinggalkan di bawah jagaannya untuk tampil sama ada mahu mengambil anak itu kembali, ataupun permudahkan mereka melakukan proses pengambilan anak angkat.

Nor Hayatie Che Hassan, 33, yang menetap di Apartmen Cempaka, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, berkata kanak-kanak itu, Muhammad Syawal, ditinggalkan di rumahnya sejak 14 Disember tahun lalu tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, jika ibu kanak-kanak itu tidak mahu mengambil anaknya semula, wanita itu diharap menghubunginya untuk memudahkan proses pengambilan anak angkat.

“Pada awalnya saya diminta menjaga anak ini oleh ibunya yang dikenali sebagai ‘Ina’ yang juga tinggal di taman perumahan sama ketika wanita itu bekerja di sebuah kilang di Bukit Beruntung.

“Selama tiga bulan Muhammad Syawal dijaga saya bersama suami (Ahmad Fitri Salleh, 40) di rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Beruntung, semalam.

Nor Hayatie berkata, selepas menyerahkan anaknya, Ina terus menghilangkan diri dan tidak lagi menjenguk kanak-kanak itu lagi.

Menurutnya, dia ada membuat laporan polis pada 4 Mac lalu di Balai Polis Bukit Sentosa mengenai kejadian itu,

Katanya, kini dia dan suami menjaga anak itu sebagai angkat mereka dan merayu ibunya segera bertemu mereka untuk menjelaskan keadaan sebenar demi menyelesaikan masalah yang berlaku itu.

“Walaupun kini saya mengandung anak pertama berusia tujuh bulan tapi saya tetap sayangkan Muhammad Syawal yang cukup periang dan bijak bercakap.

“Kami terpaksa menghantarnya belajar di sebuah tadika Islam swasta di Taman Bunga Raya kerana tidak mempunyai sebarang dokumen diri yang sah,” katanya.

Nor Hayatie berkata, dia dan suaminya yang juga pemandu lori syarikat swasta ada melaporkan kejadian itu dan mendapatkan khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu untuk status pengambilan anak angkat, namun masih belum berjaya.

“Kami perlu menunggu lagi hingga mendapatkan pengesahan ibu kepada Muhammad Syawal akan keadaan sebenar. Saya hairan mengapa anak ini ditinggalkan begitu sahaja.

“Saya membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan Muhammad Syawal demi menjaga kebajikan dirinya yang dahagakan kasih sayang ibu dan bapa,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syawal berkata, dia tidak tahu di mana ibunya berada hingga tidak bertemunya semula.

Katanya, dia serasi dan selesa tinggal dengan keluarga angkat yang sangat sayang kepadanya.
“Saya nak belajar dan hidup riang seperti anak yang lain. Di sini seronok dan tidak ada masalah.

“Saya tunggu kelahiran adik baharu tidak lama lagi apabila ‘mama’ bersalin nanti,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai status ibu anak itu bolehlah menghubungi suami Nor Hayatie di 0173119905 (Ahmad Fitri).

Tiada ulasan: