Sabtu, 1 Jun 2019

Selepas 11 tahun, Azura masih teruja mengajar di sekolah Cina

Azura Senawi gembira dengan tugasnya mengajar bahasa Melayu 
di sebuah sekolah Cina persendirian.
 
KUALA LUMPUR: 11 tahun lalu, Azura Senawi menerima tawaran mengajar di sebuah sekolah persendirian Cina dengan perasaan bimbang kerana beliau diberitahu ibu bapa pelajar mungkin bersikap sangat mendesak.

Bagaimanapun minat untuk mengajar membantu Azura mengatasi perasaan takut tersebut dan beliau tidak pernah menyesali keputusan yang dibuatnya itu.

Azura mengajar subjek bahasa Melayu di Sekolah Tinggi Tsun Jin di Jalan Loke Yew di sini, dan beliau sangat menyukainya. Beliau memuji cara bagaimana sekolah itu diurus, dedikasi tenaga pengajar dan sikap para pelajarnya.

Katanya, kebanyakan pelajar minat belajar. Ramai yang aktif dalam aktiviti luar kurikulum dan masalah disipilin jarang ada.

Sekolah Cina diketahui banyak memberi kerja rumah kepada pelajarnya, tetapi Azura mendakwa pelajar di sekolahnya tidak pernah mengeluh.

Sekolah berkenaan menggunakan aplikasi Google Classroom untuk merekodkan kerja pelajar yang tidak disiapkan. Apabila mereka menghantar tugasan masing-masing, rekod itu akan dipadamkan.

Pelajar yang menyudahkan kerja rumah tepat masa mungkin diberikan sehingga 30% mata tambahan dalam peperiksaan akhir mereka.

Pelajar juga bergilir-gilir menjaga kebersihan sekolah, selain mengambil bahagian dalam program kitar semula.

Seorang guru akan ditugaskan menjaga disiplin antara 7.30 pagi hingga 4.10 petang.
Pintu masuk ke sekolah Tsun Jin tempat Azura mengajar.
“Sepanjang 11 tahun saya mengajar di sini, tidak ada seorang pun pelajar pernah ditangkap merokok atau merayau-rayau dalam kawasan sekolah,” Azura memberitahu FMT.

Beliau mendakwa guru di sekolah berkenaan tidak terlepas kelas dan mereka saling memeriksa kerja sesama mereka bagi memastikan semua berada dalam keadaan baik.

Katanya, guru sentiasa disibukkan dengan kerja, “dan mungkin kerana itu terhindar daripada politik pejabat”.

“Guru yang mengajar subjek yang sama akan bermesyuarat seminggu sekali bagi menentukan pelajaran yang akan diajar serta pendekatan yang akan digunakan,” katanya dengan menambah bahawa sesi perbincangan sedemikian di mana pendekatan mengajar diteliti dan diperhalusi telah menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.

Bercakap tentang tugasnya sebagai guru bahasa, Azura berkata, beliau banyak belajar daripada pakar luar yang kerap dipanggil oleh sekolah. Pakar berkenaan mengajar teknik penulisan dan pembelajaran yang kemudiannya akan disampaikan kepada pelajar

“Pelajar kami tahu tentang cara terbaik untuk menulis karangan dan menjawab soalan. Ini membantu mereka mendapat markah yang tinggi.”

Hampir kesemua pelajar adalah dari kaum Cina, tetapi menurut Azura, mereka terdedah kepada budaya Melayu dan India yang diamalkan di Malaysia dan kebanyakan mereka boleh berbahasa Melayu dan Inggeris.

“Pelajar yang tidak boleh akan diberikan galakan oleh guru sehingga mereka mampu bercakap dalam 2 bahasa itu.

Beliau berkata, seperti kebanyakan kantin di sekolah Cina, kantin di sekolahnya menyediakan makanan tidak halal, tetapi orang Islam tidak berdepan masalah kerana mereka dibenarkan makan di warung yang terletak di luar pagar sekolah.

Pada bulan puasa katanya, pelajar akan cuba menunjukkan kepekaan mereka terhadap guru beragama Islam dan biasanya akan meletakkan bekas minuman mereka di atas lantai, dengan tujuan “tidak memperlihatkannya kepada kami”.

“Saya selau beritahu mereka tidak perlu berbuat begitu. Bagaimanapun mereka masih mahu menyorokkan minuman mereka sepanjang bulan puasa.”

Sekolah berkenaan mengupah pelajar untuk kerja-kerja perkeranian semasa mereka menunggu keputusan peperiksaan atau kemasukan ke kolej. Azura berkata ini membantu sekolah kerana guru tidak perlu melakukan kerja trsebut.

Beliau percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah “bukan kerana ia sekolah Cina tetapi kerana keutamaannya betul. Ia menanam disiplin, kerja keras dan sikap menghormati orang lain.”


Tiada ulasan: