Isnin, 22 April 2019

‘Kata pejuang hak asasi, tapi merekalah penindas hak LGBT’

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Bekas transgender mengaku ada pihak cuba halang usaha Jakim dakwah golongan LGBT melalui program Mukhayyam: Dr Rafidah


BANGI– Golongan yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia adalah ‘penindas’ sebenar kebebasan golongan songsang – lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) – yang mahukan hak beragama.

Presiden Pertubuhan Gabungan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, jika dahulu ‘puak’ berkenaan lantang mengkritik hukum Syariah dan Kod Penal 377, namun kini mereka menyerang pula program dakwah yang digerakkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sikap dan tindakan yang ditonjolkan pejuang hak asasi itu jelas menunjukkan mereka adalah ‘penindas’ yang sengaja mahu menafikan hak serta kebebasan golongan LGBT yang inginkan beragama, katanya.

“Sedangkan hak asasi beragama, jika ikut dalam Perlembagaan ianya dijamin. Pada saya Mukhayyam dan kelas agama yang dianjurka Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri adalah satu bentuk dakwah, di mana kalau tidak dibuat, kita lebih diskriminasi golongan (LGBT) terbabit.

“Kita buat Mukhayyam untuk orang biasa dan pelajar sekolah, tetapi untuk golongan LGBT sebaliknya. Bukankah itu satu diskriminasi?,” katanya bagi mengulas ucapan aktivis LGBT, Numan Afifi serta disokong 41 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam ucapannya pada Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Mac lalu, Numan mendakwa program Mukhayyam bersama LGBT beragama Islam, dianjurkan Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebagai ‘State Sponsored Violence’ menggunakan pendekatan ‘corrective therapy’.

Dr Rafidah Hanim berkata, program Mukhayyam yang dibuka untuk komuniti LGBT adalah atas dasar semua berhak untuk mendapat dan mempelajari agama.

Katanya, pejuang hak asasi berkenaan membawa contoh-contoh Barat, dan cuba untuk mengharamkan pendekatan agama, dengan mengaitkan program Jakim itu sebagai pendekatan ‘corrective therapy’.

“Ikutkan di Barat kata pendekatan itu banyak trauma. Dah bertahun-tahun Jakim buat program ini, dan berapa ribu alumni Mukhayyam asyik mengulang datang ke program itu setiap tahun.

“Jika kita mahu buat untuk 80 orang, peserta yang mohon berlebih-lebih. Jika betullah mereka trauma dengan Mukhayyam, memang takkan datang,” katanya.

Beliau turut kesal dengan sikap beberapa portal liberal di negara ini, yang enggan menyiarkan kesan dan testimoni positif bekas-bekas LGBT yang pernah menyertai Mukhayyam itu.

“Apabila kira buat artikel hantar ke Malaysia Kini dan Malay Mail, sebut NGO-NGO yang berhijrah beritahu pengalaman positif mereka, media ini tidak mahu siarkan.

“Mereka asyik siarkan 41 NGO di pihak mereka itu. Sehinggakan, kita ada bekas lesbian dan transgender yang suka mengaji al-Quran, tidak boleh tidur malam sebab memikirkan ada pihak cuba nak mengharamkan kelas agama mereka.

“Mereka sedang merasai nikmat mendapat agama, tiba-tiba ada pihak cuba mahu menghalang Jakim, Jais meneruskan program itu,” katanya.


Tiada ulasan: