Ahad, 21 April 2019

Isu Program Matrikulasi dibawa ke Jemaah Menteri

Manzaidi Mohd Amin

Dr. Amin Senin
Dr. Amin Senin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan membawa isu berbangkit mengenai Program Matrikulasi KPM ke Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Amin Senin berkata, menterinya, Dr. Maszlee Malik sendiri akan membawa itu itu untuk mendapatkan keputusan sewajarnya.

Katanya, mengambil kira pandangan semua pihak, kementerian akan memastikan isu itu ditangani dengan cermat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik melalui saluran yang tepat.

“Kita mengambil perhatian serius pelbagai isu berbangkit mengenai kemasukan ke Program Matrikulasi KPM.

“Berdasarkan keperluan, kementerian kekal dengan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus bagi bukan Bumiputera.

“Tahun ini penambahbaikan telah dibuat iaitu di samping mengekal dasar 90:10, pengambilan juga memberikan peluang tempat kepada 60 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Oleh itu, kata beliau, kementerian telah melihat semula semua cadangan termasuk penambahan kuota kaum bukan Bumiputera yang perlu selaras dengan dasar asal 90:10.

Ujarnya, hanya terdapat 25,000 sahaja kapasiti pengambilan keseluruhan setiap tahun. Jadi, dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar Bumiputera dan 2,500 untuk bukan Bumiputera.

“Program ini diwujudkan asalnya adalah untuk Bumiputera sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: