Khamis, 18 April 2019

Apa nasib pelajar cemerlang India tak dapat matrikulasi?

Kasthuri Jeevendran
 
 WhatsApp-Image-2019-04-16-at-16



KUALA LUMPUR – Sejak dua tiga hari ini, media sosial  memperkatakan tentang nasib seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 (SPM)  berbangsa India yang mendapat 10A namun tidak berjaya mendapat tempat di matrikulasi.

Transkrip keputusan SPM pelajar perempuan itu yang menjadi tular itu juga menimbulkan tanda tanya.

Rata-rata mempersoalkan kenapa dengan markah cemerlang seperti itu tidak berjaya masuk ke program matrikulasi?

Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja mahu penjelasan terkini mengenai pengambilan 2,200 pelajar India seperti dijanjikan oleh kerajaan terdahulu.

Atau sekurang-kurangnya status pengumuman yang pernah dibuat oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik tentang kuota tambahan untuk kaum India, penambahan pengambilan untuk 700 pelajar India ke kolej matrikulasi sudah pun diumumkan pada April tahun lalu.

Pengumuman itu dibuat susulan  tambahan 1,000 tawaran khas untuk pelajar cemerlang SPM bukan Bumiputera berbangsa Cina daripada golongan B40 ke Kolej Matrikulasi kementerian bagi sesi 2018/2019.

RT Raja

Soal RT Raja, adakah KPM sedar dengan isu yang menimpa pelajar India itu dan apa status penempatan atau pengambilan matrikulasi itu ketika ini?

“Adakah yang menjadi tular menimpa pelajar perempuan ini benar-benar terjadi?

“Jika betul, apakah yang boleh dilakukan untuk membantunya dan mengapakah dia tidak mendapat tempat walaupun keputusan cemerlang?

“Kita tidak pasti tentang bilangan yang masuk matrikulasi juga. Tolonglah buat sesuatu. Dulu ketika kerajaan BN mempunyai kuasa, yang pastinya MIC yang memperjuangkan perkara ini tapi kuasa kini dalam tangan kerajaan PH, lagi-lagi ada empat Menteri dalam kalangan India.

“Kita cuma mahu tahu apakah tindakan susulan dan statistik, KPM tolong pandang isu ini dengan serius apatah lagi keyakinan masyarakat India dengan PH semakin merosot, buktinya dalam pilihan raya baru-baru ini, beringatlah,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Untuk rekod, pada tahun 2013, Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengumumkan 1,500 pengambilan khas pelajar India bagi kolej matrikulasi.

Susulan daripada permintaan MIC, pada tahun 2018, Datuk Seri Najib Razak ketika itu Perdana Menteri telah mengumumkan penambahan pengambilan 700 lagi pelajar India bagi membantu mencapai sasaran tujuh peratus pelajar India di universiti awam.

Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan adalah program prauniversiti untuk pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan profesional.

Bagaimanapun, sejak tahun 2003, program itu membuka ruang 10 peratus kepada pelajar bukan Bumiputera bagi mewujudkan persaingan sihat dan memantapkan integrasi nasional serta perpaduan kaum. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: