Rabu, 17 April 2019

Anak Sarawak terharu peluk Islam depan MB


   

"Saya rasa bertuah, gembira dan lebih tenang selepas memeluk agama Islam, lebih-lebih lagi sebab saya mengucap dua kalimah syahadah melalui menteri besar Kelantan," kata seorang bekas pemuda Kristian, Hii Sian Kwang, 41.

Dia anak kelahiran Marudi, Sarawak, dan berada di Kelantan sejak dua minggu lalu sempena Expo Perniagaan Islam Kelantan 2019.

Kedatangan Hii - atau nama barunya, Shamsul Rahman Hii Abdullah - ke Kota Bharu adalah untuk memenuhi tanggungjawab sebagai pengarah program Koperasi Barisan Usahawan Berhad (Kopbaris).

Kata Hii, dia tidak menyangka hatinya terdetik untuk memeluk agama Islam di negeri Serambi Mekah selepas sekian lama menyimpan hasrat itu.

Keputusan untuk memeluk Islam itu dibuat selepas Pengerusi Kopbaris, Sufian Ghani, menyatakan cadangan agar dia mengucap dua kalimah syahadap di depan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, pada Isnin lalu.

"Ketika menguruskan karnival di sini, majikan saya, Sufian ada bertanyakan kepada saya jika mahu memeluk Islam di hadapan menteri besar.

"Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju memandangkan saya sudah lama menyimpan hasrat ini. Tambahan pula, menteri besar adalah seorang yang sangat saya kagumi terutama dalam ilmu agamanya.

"Alhamdulillah, saya menjadi seorang muslim melalui seorang pemimpin dan tokoh agama yang menjadi idola saya sejak sekian lama," katanya ketika sesi temu ramah bersama media di Kota Bharu, hari ini.

Bukan sebab nak kahwin
 
Hii berkata, ketika proses mengucap dua kalimah syahadah itu, dia berasa sebak dan terharu selain dapat merasakan ketenangan jiwa.

"Tak dapat saya gambarkan perasaan ketika bersalam dengan menteri besar, dan sebaik melafazkan dua kalimah syahadah, jiwa saya rasa sangat tenang dan sebak.

"Selepas sekian lama, akhirnya hidayah itu sampai kepada saya, alhamdulillah," katanya yang kini bermastautin di Kuala Lumpur.

Sementara itu mengulas lanjut, Hii berkata, sebelum ini dia sudah belajar sedikit sebanyak mengenai Islam termasuk berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan solat.
"Saya pernah berpuasa Ramadan selama tiga tahun berturut-turut dan pernah ikut kawan Muslim mendengar khutbah Jumaat.

"Alhamdulillah, urusan saya untuk memeluk Islam dipermudahkan. Ayah saya sudah lama meninggal dunia namun ibu yang berketurunan Iban, tidak menghalang pilihan saya.

"Ramai yang menganggap saya memeluk Islam kerana ingin berkahwin.

"Ia tak benar. Saya jatuh cinta pada agama ini disebabkan pengisiannya yang indah dan tidak pernah berubah.

"Saya akan terus belajar mendalami ilmu Islam dan membuktikan tentang indahnya agama ini kepada segelintir golongan yang berprasangka negatif," katanya.

Sementara itu kata Hii, semasa bertemu Ahmad, menteri besar itu berpesan supaya mempelajari Islam dan mengamalkan kehidupan dengan menjauhi perkara mungkar.

"Beliau nasihatkan saya agar menjauhi perkara dilarang dan mendekati perkara yang disuruh dalam Islam, " katanya.


Tiada ulasan: