Bekas menteri penerangan Zainuddin Maidin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital di Putrajaya hari ini selepas dilaporkan rebah akibat sukar bernafas di rumahnya di Precinct 10, malam semalam.
Menurut adiknya, Lazam Maidin, 68, abangnya, yang popular dengan panggilan Zam, kini dalam keadaan stabil tetapi masih lemah.
“Paru-parunya dilaporkan berair dan keadaannya sedang dipantau oleh doktor. Dia bukannya pengsan atau diserang penyakit jantung seperti yang dilaporkan.
“Dia sekarang sudah boleh bercakap tetapi lemah. Hanya keluarga dan sahabat terdekat dibenarkan melawat,” katanya.
Menurut Lazam, Zainuddin sebelum ini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda berhubung masalah kesihatannya. Malah, katanya, abangnya sedang bersiap-sedia untuk membawa adiknya pulang ke kampung mereka di Kedah minggu ini.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak melawat abangnya yang memerlukan rehat yang secukupnya tetapi mendoakan kesihatannya.
Adalah
difahamkan selain ahli keluarhga yang rapat, bekas Pengarang Mingguan
Malaysia, Ku Seman Ku Hussain dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan
Melayu, Johan Jaafar adalah antara mereka yang menziarahinya hari ini.
Zainuddin, 79 tahun, adalah juga bekas ketua pengarang Utusan Malaysia sekitar lewat 1990an tetapi sejak kebelakangan ini sering membidas pentadbiran akhbar berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan