KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz senada dengan pendirian partinya untuk menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Padang Rengas, berkata ICERD wajar ditolak kerana telah 'mengganggu' hak orang Islam.

"Tolak, dari awal... Saya sebagai Melayu Islam dan tak pernah persoal hal-hal orang lain bolehkah saya terima kalau hak-hak saya dikatakan harus dihapus, jadi  jawapannya mestilah tidak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Umno sebelum ini berpendirian bahawa parti itu menolak sepenuhnya ratifikasi konvensyen ICERD.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penolakan itu kerana ia melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada beliau akan mengikuti himpunan yang akan dianjurkan oleh Pas yang mahu turun ke padang bagi membantah ICERD, beliau berkata, itu hak Pas.

"Tak semestinya kita akan ikut himpunan  kalau tidak bersetuju dan kalau nak buat himpunan itu hak dia Pergi," katanya.