Reuters
KUALA
LUMPUR: Kerajaan baharu Malaysia akan mengurangkan perbelanjaan awam
walaupun meramalkan ekonomi bertumbuh semakin perlahan berbanding
jangkaan sebelum ini, kerana mahu mengurangkan timbunan hutang yang
ditinggalkan pentadbiran dulu.
Diangkat ke tampuk kekuasaan pada Mei, kerajaan Perdana Menteri Tun
Dr Mahathir Mohamad segera mengubah angka hutang Malaysia kepada
kira-kira RM1 trilion, mengatakan hutang negara diperkecilkan oleh Datuk
Seri Najib Razak, bekas perdana menteri yang kini bedepan pelbagai
tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Kerajaan menerbitkan laporan tinjauan ekonomi pada Jumaat untuk
mengiringi belanjawan pertamanya. Laporan itu meramalkan pertumbuhan
ekonomi 4.8% pada 2018 – penurunan mendadak daripada 5.9% tahun
sebelumnya – dengan sedikit kenaikan kepada 4.9% tahun depan.
Bulan lalu, Dr Mahathir mengumumkan pertumbuhan dijangka antara 4.5%-4.9%, turun daripada 5.0% yang diramalkan dulu.
“Perbelanjaan sektor swasta akan kekal sebagai pemacu utama
pertumbuhan, yang akan mengurangkan kesan perbelanjaan sektor awam yang
lebih rendah pada 2018 dan 2019,” kata kerajaan dalam laporan itu.
Pelaburan sektor awam diramalkan akan mengecut sebanyak 1.5% pada 2018 dan turun lagi sebanyak 5.4% tahun depan.
Pertumbuhan perlahan dan ramalan belanja ini 2 minggu selepas
kerajaan meninggalkan sasaran fiskal sebelum ini, menganggarkan defisit
belanjawan lebih luas dalam beberapa tahun akan datang.
Kerajaan Dr Mahathir dijangka menyampaikan belanjawan pertama
berperisa penjimatan hari ini, kerana ia mahu mengisi kekurangan hasil
akibat memansuhkan cukai penggunaan.
Sebelum ini ia mengumumkan pembatalan atau penangguhan projek-projek
prasarana awam bernilai sekurang-kurangnya AS$20 bilion, dan kerajaan
mungkin tidak akan melabur dalam projek baharu dalam jangka masa pendek,
menurut laporan ekonomi itu.
Tumpu sektor swasta
Pada 2019, dasar monetari akan kekal bersesuaian dan sebarang
“pelarasan akan bergantung kepada risiko sekitar ramalan pertumbuhan
domestik dan inflasi,” kata kerajaan dalam laporannya.
Inflasi dijangka meningkat 2.5% -3.5% tahun depan dari 1.5% tahun ini kepada 2.5%.
Kerajaan menjangkakan sektor swasta memainkan peranan yang lebih
besar dalam pembangunan, dengan pelaburan swasta dilihat meningkat 4.5%
tahun ini dan meningkat 5% pada 2019.
Penggunaan swasta akan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama. Ia
diunjurkan berkembang 7.2% pada 2018 dan sederhana sedikit kepada 6.8%
pada 2019.
Kebanyakan sektor mungkin menghadapi pertumbuhan yang sederhana
sepanjang tahun ini dan 2019, walaupun sektor perlombongan dilihat pulih
daripada penurunan 0.6% pada 2018 untuk berkembang 0.7% pada tahun
berikutnya.
Pertanian dilihat berkembang pada kadar 3.1% pada 2019, lebih tinggi
daripada pertumbuhan 0.2% yang diunjurkan tahun ini berikutan
peningkatan hasil minyak sawit.
Kerajaan berkata pertumbuhan eksport kemungkinan akan berkurang
sedikit kepada 3.9% pada 2019 daripada pertumbuhan 4.4% yang diunjurkan
untuk tahun ini.
Lebihan akaun semasa dijangka berkurangan kepada RM38.6 bilion pada
2018, turun daripada RM40.3 bilion pada tahun sebelumnya. Kerajaan
menjangka ia akan menurun lagi pada 2019 kepada RM34 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan