THE MALAYSIAN TIMES
SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera menghapuskan akta-akta yang dilihat menindas rakyat terutama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).
Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad ketika membuat saranan itu berkata kerajaan tidak seharusnya berpeluk tubuh atau terganggu dan tidak boleh takut untuk membuat pembaharuan politik secara lebih mendalam.
“Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), SOSMA, POTA dan undang-undang menindas lain harus dihapuskan sekali untuk diganti dengan undang-undang yang melindungi demokrasi dan keselamatan rakyat,” katanya dalam amanatnya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional AMK 2018 di sini hari ini yang dihadiri lebih 400 perwakilan.
Dalam pada itu, Nik Nazmi mendesak kerajaan agar tidak perlu lagi ‘menjenamakan semula’ badan-badan propaganda politik kepartian dan perkauman seperti Biro Tata Negara (BTN) dan ia hanya perlu wujud dalam buku sejarah.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya PKR adalah parti paling lemah dalam gabungan PH.
Beliau sebaliknya berkata PKR membuktikan pengaruh parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila memiliki jumlah terbesar wakil rakyat dalam PH, iaitu sejumlah 50 Anggota Parlimen dan 70 Anggota Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.
Katanya pihaknya juga bersyukur sebab PKR berada di barisan hadapan dalam proses ‘Malaysia Baru’ dengan memiliki dua Menteri Besar dan Exco negeri dalam kalangan AMK.
“Dari semasa ke semasa, pengkritik menuduh kita sebagai apa yang digelar ‘weakest link’ dalam PH. Pada 9 Mei 2018, kita muncul sebagai komponen dengan jumlah terbesar anggota Parlimen PH.
Namun, sesiapa sahaja yang berfikir Keadilan adalah ‘weakest link’ mereka sama sekali tersilap,” katanya.
Nik Nazmi yang tidak mempertahankan jawatannnya pada pemilihan PKR kali ini mengingatkan anggota muda parti untuk tidak sama sekali membelakangi pembaharuan politik yang dikecapi selepas PRU14 dalam usaha menjadikan Malaysia lebih telus dan disokong semua pihak.
Beliau berkata anggota muda parti perlu menyokong pembaharuan yang dilakukan terutama dalam kebebasan politik dan sivil yang dicadangkan sebelum ini termasuk keputusan mengurangkan usia untuk mengundi sehingga 18 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan