Jumaat, 16 Februari 2018

Tabung derma PPBM malukan bangsa Melayu - Anina

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan PPBM yang melancarkan tabung derma bagi merealisasikan cita-cita Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan dikecam salah seorang bekas pengasasnya Anina Saaduddin.
 
Beliau yang kecewa dengan tindakan pemimpin PPBM itu, menyifatkan ia sebagai cubaan memeras hidup rakyat yang mereka dakwa terkesan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
"Saya bercakap sebagai pengasas PPBM dan sayalah yang menamakan sayap wanitanya sebagai Srikandi. Saya tahu apa yang anda tidak tahu. 
 
"Dibelakangnya adalah kroni dan keluarga jutawan tetapi mereka kutip derma dari rakyat yang mereka sendiri dakwa sedang menderita akibat GST. 
 
"PPBM memalukan bangsa Melayu," katanya dalam satu status di laman sosial Facebook.
 
Anina turut mempersoalkan mengapa Tun Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak menggunakan 'kekayaan' yang dimiliki mereka bagi membantu parti serpihan Umno itu.
 
"Saya mula bertanyakan tentang dana parti. Saya pernah ke rumah Mukhriz Mahathir, ianya sebuah istana yang dapurnya sahaja sebesar banglo. 
 
"Apabila saya selidiki dari mana datangnya wang yang begitu banyak untuk membina rumah sehebat ini, barulah saya ketahui bahawa beliau, memiliki 160 syarikat.
 
"Tidak lama kemudian ada pula yang membisikkan kepada saya bahawa jet peribadi Falcon 900LX itu dimiliki oleh anak Tun M.
 
"Saya terkejut tapi saya lebih terkejut apabila mendapat tahu bahawa Tun sendiri memiliki saham 50% dalam syarikat pembuat kapal terbang Jetfox!," dedah beliau lagi.
 
Bagaimanapun ujar beliau, PPBM sering memainkan isu skandal kewangan yang melanda kerajaan kononnya kini menghimpit rakyat.
 
"Dalam semua ceramah PPBM isu kesusahan rakyat dilagukan dengan pelbagai irama. Tujuan isu kemiskinan ini digunakan adalah untuk mengapi-apikan rakyat," katanya.
 
Malah tambah Presiden NGO Empirical Malaysia ini lagi, pemimpin PPBM juga sering menyebar fitnah tentang sikap boros Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan keluarga.  
 
"Pada masa yang sama propaganda tentang kehidupan mewah Perdana Menteri disebarkan di semua media sosial. Bukan itu sahaja, malah keseluruhan ahli keluarga PM juga dikaitkan dengan sifat boros dan menghabiskan wang rakyat," katanya lagi.
 
Difahamkan, tabung Derma itu diwujudkan bertujuan membantu gerak kerja PPBM yang sedang dan terus dilakukan dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat dan penyertaan masyarakat umum bagi menjayakan impian menjadi kerajaan baru terlaksana.
 
Menurut Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ia juga sebagai salah satu inisiatif bagi memastikan cita-cita menggantikan Barisan Nasional (BN) tercapai.
 
 

Tiada ulasan: