Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Nampaknya
PKR baru sedar bahawa keikhlasan dan komitmen Parti Amanah Negara, jauh
tidak sama dengan pendirian bekas saudara tahaluf siyasinya PAS;
sekurang-kurangnya dari segi integritinya.
PAS menjadi sahabat PKR sejak ia ditubuhkan pada 1998 bukan sahaja
kerana bersimpati pada nasib yang menimpa pemimpin utamanya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang ‘dianiayai’ oleh bekas perdana menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Malah apabila bekerjasama dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008, PAS
secara budiman menyokong PKR untuk menerajui Selangor walaupun majoriti
yang diperolehinya dalam Dewan Undangan Negeri itu bukanlah mutlak.
Ketika itu PKR ada 15 kerusi, DAP 13 dan PAS, 8. Sementara UMNO-BN pula memenang 20 kerusi.
Sikap budiman PAS itu dipamerkan sekali lagi apabila PKR menghadapi
krisis dalamannya berpunca menteri besarnya suatu ketika dahulu, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim ‘keberatan’ meletak jawatan walaupun diarahkan
oleh kepimpinan PKR.
Yang mengkagumkan ialah, PASlah yang bertanggungjawab mencalonkan
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali untuk menjadi Menteri Besar.
Tiada sekelumit pun hasad PAS mahu menyaingi PKR untuk menduduki kerusi
berprestij itu.
Sayugia diingat bahawa PAS selepas PRU 13 pada 2013 memiliki 15 kerusi
sementara PKR 14, DAP 15, dan UMNO-BN, 12. Namun PAS tidakpun menuntut
kerusi peneraju di Selangor.
PAS juga istiqamah mahu menunaikan janji pilihan rayanya kepada rakyat
untuk berkongsi kuasa dengan PKR dan DAP ketika itu. Terharu dengan
pendirian PAS itu, PKR bertegas mahu PAS terus berada dalam kerajaan
Selangor walaupun sudah ditalak DAP.
Sungguhpun begitu luhur dan mudah pendekatan politik PAS Selangor,
namun di bawah pimpinan Azmin, PKR pun tidaklah begitu tulus melayani
PAS. Dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar
tahun lalu, PKR jelas tidak menyokong PAS.
PKR mendakwa ia bukan tidak sayang PAS tetapi lebih setia pada Pakatan
Rakyat. Kemunculan Tun Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) menghanyutkan PKR lebih jauh dari PAS.
Akhirnya, PAS tidak lagi mahu melayan PKR bagai menantang minyak yang
penuh. PKR nyata lebih mementingkan pengekalan kuasa dan bukan budi
bicara politik matang. PAS pun memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR
tahun lalu.
Apabila PRU14 makin dekat, PKR baru dapat melihat sisi hodoh Amanah
pengganti PAS dalam pakatan pembangkang. Pengerusi PKR Selangor, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali membidas Amanah negeri itu sebagai menipu serta
tidak amanah kepada rakyat.
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata Amanah sepatutnya
memberitahu umum bahawa Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor sudah
bermesyuarat empat kali bagi membincangkan isu agihan kerusi.
"Amanah menipu. Apa yang Dr Mahathir kata adalah tiada jawatankuasa
khas. Apa yang Dr Mahathir (Mohamad) kata adalah kita ada jawatankuasa
yang ditubuhkan seperti negeri lain dan kita telah berjumpa empat kali.
"Amanah tidak berkata benar. Amanah tidak amanah. Kami sudah berjumpa
empat kali kecuali nama jawatakuasa itu sebelum ini 'Jawatankuasa
Pilihan Raya Negeri Selangor’ sekarang mereka mahu ubah kepada
‘Jawatankuasa Pengagihan Kerusi’, ahli jawatankuasa masih sama,”
katanya.
Amanah Selangor sebelum ini mendesak agar PKR Selangor terutama Azmin
agar patuh pada pengumuman Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad agar
ditubuhkan satu jawatankuasa khas berhubung isu agih kerusi.
Ia susulan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar
bertegas mahu meneruskan rundingan itu menerusi Jawatankuasa Pilihan
Raya PH Selangor - yang sudah empat kali
bermesyuarat.
Perkara itu dibantah tiga parti komponen PH yang lain Amanah, PPBM dan
DAP seraya mahukan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk tujuan itu.
Azmin dalam pada itu bertegas mahu meneruskan rundingan agihan kerusi
sehingga keempat-empat parti komponen PH di Selangor mencapai konsensus.
“Kita sudah berjumpa empat kali bukan hanya untuk berbincang
pembahagian kerusi, tetapi juga isu lain berkaitan persediaan Pilihan
Raya Umum ke-14.
“Sudah tentu rundingan kerusi adalah salah satu isu utama yang
dibincangkan dalam jawatankuasa, tetapi malangnya kami belum capai
konsensus empat parti dan saya rasa proses itu perlu diteruskan,” kata
Azmin.
“Jadi adil di Selangor, awak mahu tetapkan tarikh akhir atau awak mahu
proses itu diteruskan hingga kita capai konsensus? Saya ingat
kedua-duanya penting?” katanya.
Yang pasti setiap kerabat PH menyimpan hasrat menjadi peneraju gagasan
berkenaan. Bagaimanapun oleh kerana PKR sudah mengisi keperluan lebih
dahulu, parti-parti lain mula menunjukkan rasa cemburu terhadap PKR.
Memang begitu resam politik pembangkang. Masing-masing berusaha bak
dedalu tanpa segan silu melepaskan ‘pucuk dan tembolok politik’ mereka
dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan