Jumaat, 9 Februari 2018

Kepimpinan DAP kini huru-hara – Janice

Mohd Zaini Samsu Hadi

Setiausaha Parti Rakyat Malaysia, Jenice Lee (tengah) mengedar sumbangan buah limau Mandarin sempena Tahun Baru Cina kepada pengunjung di Pasar Pagi, Taman Muda, Ampang. foto SAFWAN MANSOR,
 
KUALA LUMPUR – Setiausaha Parti Rakyat Malaysia (PRM) Selangor, Janice Lee mendakwa, kepimpinan parti DAP ketika ini berada dalam keadaan huru-hara.

Ini kerana, mereka yang dilihat tidak mengamalkan politik bersih diangkat sebagai pahlawan untuk mewakili rakyat, katanya.

“Mereka memilih kroni-kroni untuk dijadikan calon (wakil rakyat). Kalau orang-orang yang bersih dan tidak memihak kepada mereka, ia dikatakan berbahaya dan dihalau keluar parti.

“Contohnya kita di Melaka, empat ADUN semuanya ditolak oleh DAP hingga menyebabkan mereka (empat ADUN itu) kecewa dan keluar parti.

“Di Pulau Pinang juga baru-baru ini ada beberapa ADUN seperti ADUN Tanjung Bunga (Teh Yee Cheu) di mana peruntukan di kawasannya ditarik balik sebelum Tahun Baru Cina ini,” katanya yang merupakan bekas ADUN Teratai.

Menurut Janice, langkah itu merupakan satu tindakan yang sangat kejam kerana ketika masyarakat kaum Cina mahu menyambut perayaan tahun baru, DAP dengan angkuh mengambil tindakan memecat keanggotaan seorang wakil rakyat.

Malah, tegas beliau, perkara sama turut berlaku ke atas dirinya apabila dipecat daripada DAP ekoran langkahnya mempertahankan hak rakyat.

Terdahulu, Janice ketika ditemui MalaysiaGazette mengadakan walkabout di pasar pagi Taman Muda di sini.

Dalam walkabout tersebut, Janice turut mengedar limau mandarin kepada pengunjung dan juga peniaga sebagai sumbangan sambutan Tahun Baru Cina.

Sebanyak 80 kotak limau mandarin diagih-agihkan kepada orang ramai sambil mengedarkan risalah menganai parti yang diwakilinya pada masa ini.

Mengambil contoh aktiviti yang dilakukan di kawasan Teratai hari ini, Janice mendakwa, pelbagai tuduhan dan fitnah telah dilemparkan ke atas dirinya membabitkan ADUN (Tiew Wey Keng) yang merupakan wakil rakyat di kawasan berkenaan ketika ini.

Katanya, beliau yakin penduduk di kawasan Teratai yang merupakan pengundinya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebelum ini dapat membezakan gerak kerja wakil rakyat yang pernah dipilih oleh mereka sebelum ini dengan penyandangnya ketika ini.

“Biarlah mereka membuat pilihan pada PRU akan datang kerana saya tahu masyarakat di sini bijak dan mereka pasti akan memilih calon bersih yang boleh membawa suara dan membela nasib mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: