Rabu, 14 Februari 2018

DAP tuduh PSM pengacau di Perak

 
Tindakan PSM mengumumkan calon di kerusi DAP menunjukkan hasrat mereka memecahkan undi penyokong pembangkang melawan BN. 


Nga-Kor-Ming_S-Arutchelvam_perak_600


PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) dituduh bertingkah laku seperti pengacau kerana merancang meletakkan calon di 1 kerusi Parlimen dan 5 kerusi DUN yang dipegang DAP di Perak.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata PSM ketara mahu memecahbelahkan undi pembangkang dalam pertarungan 3 penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Mengapa mereka tidak meletakkan calon di kerusi Umno/BN di Perak. Mereka jelas tidak bersama pembangkang,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Taiping itu menjawab pengumuman minggu lepas oleh Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvam bahawa partinya akan bertanding di 5 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-14.

Arutchelvam berkata PSM mengalu-alukan sesiapa mahu bertanding bawah tiketnya asalkan memenuhi 3 syarat: bersetuju mengisytihar harta, tidak bermain politik kotor dan membuka pusat perkhidmatan di kawasan dipilih.

Di Perak, PSM berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu Gajah dan kerusi DUN Buntong, Jelapang, Menglembu, Tronoh, dan Malim Nawar.

Nga berkata pemimpin PSM tidak membuat sebarang temujanji dengan DAP Perak atau pemimpin PH negeri untuk membincangkan kerusi.

“PSM nampaknya mengulangi kesilapan mereka menjelang pilihan raya 2008 dan 2013 di mana calon mereka kalah teruk, kecuali Dr Michael Jeyakumar Devaraj,” kata Nga merujuk kepada calon PSM yang memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput bawah tiket PKR pada 2013.

Nga berkata, pengundi di Lembah Kinta di mana DAP memenangi 9 kerusi pada pilihan raya lepas, tidak mudah terpedaya dengan langkah PSM meletakkan calonnya di kawasan itu.

Beliau berkata, pada pilihan raya lepas PSM meletakkan Sarasvathy Muthu untuk kerusi Jelapang tetapi kalah teruk apabila meraih 2,568 undi sahaja dalam pertarungan 3 penjuru yang dimenangi DAP. Teh Hock Ke meraih 16,921 undi, sementara itu calon BN Mokan Subramanian meraih 4,655 undi.

“Pada pilihan raya kali ini, PH akan bertanding untuk memenangi kuasa mentadbir Perak dan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata ia juga satu ironi apabila PSM membentangkan manifesto yang kelihatan seperti mereka akan melaksanakan dasar dan program jika calon mereka menang.

“Di Perak, mereka bertanding di 5 daripada 59 kerusi berisiko dan bagaimana mereka akan meyumbang kepada rakyat jika mereka tidak berkuasa?” katanya.

Nga berkata PH akan bertanding di semua kerusi DUN dan rundingan kerusi antara parti komponen PH sedang berjalan lancar dan pengumuman akan dibuat pada konvensyen negeri 10 Mac nanti.
Pada pilihan raya 2013, Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS memenangi 28 kerusi manakala BN memenangi 31.

Pada pilihan raya 2008, PR berjaya mengambil alih kuasa apabila memenangi 31 kerusi berbanding BN yang memenangi 28 kerusi, tetapi 10 bulan selepas itu, kerajaan itu dibubarkan apabila wakil rakyat PR berpaling tadah dan menjadi wakil rakyat mesra BN.

Tiada ulasan: