Rabu, 14 Februari 2018

'Bagaimana nak jadi kerajaan kalau asyik berbalah'

DETIK DAILY



Pertelingkahan antara parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam soal pengagihan kerusi membuktikan gabungan itu tidak mampu menjadi kerajaan yang baik, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Apatah lagi ia pertelingkahan itu dibuat secara terbuka dan sehingga kini tidak selesai, katanya.
"Mereka tak dapat tunjuk tolak ansur dan kesepakatan untuk menguruskan (gabungan) parti sendiri, maka macam mana nak jadi kerajaan yang berkesan.

"Kita sebagai pengundi tentulah merasa ragu untuk memilih mereka sebagai kerajaan," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, hari ini.

HARAPAN Kelantan sebelum ini dilaporkan gagal menyelesaikan masalah pertindihan tuntutan bagi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun tempoh rundingan sudah tamat, dan perlu membawa isu itu ke peringkat pusat.

Antaranya sembilan kerusi melibatkan pertindihan antara AMANAH dan BERSATU, tiga kerusi menjadi rebutan antara AMANAH dan PKR dan dua kerusi antara BERSATU dan PKR.

Masalah sama turut dihadapi HARAPAN Selangor, tetapi Pengerusi HARAPAN negeri itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia perkara biasa kerana demokrasi sememangnya sebuah "proses yang bising".

Mohd Amar berkata, keadaan berbeza ketika PAS masih bersama pakatan pembangkang apabila banyak pertikaian dapat diselesaikan dengan baik.

"Kita tidak tahu sebab sebenar (pertelingkahan dalam HARAPAN), tetapi mungkin kerana masing-masing rasa sudah kuat dan tamak nak menang (banyak kerusi)," katanya lagi.

Tiada ulasan: