Ahad, 4 Februari 2018

Azmin tak layak jadi pengerusi PH Selangor, kata Ronnie Liew

 
Seorang pemimpin DAP menempelak Azmin Ali kerana mendakwa Amanah berbohong dan tidak amanah dalam isu pengagihan kerusi. 


Ronnie-Liew-azmin

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP menempelak Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Datuk Seri Azmin Ali selepas beliau secara terbuka mendakwa Amanah negeri berbohong dalam isu pengagihan kerusi DUN di negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Ronnie Liew merujuk kepada laporan media di mana Azmin dirakamkan berkata Amanah negeri tidak amanah apabila mendakwa jawatankuasa rundingan pengagihan kerusi DUN di Selangor belum dibentuk.

Azmin mendakwa parti komponen PH sudah bermesyuarat 4 kali untuk membincangkan pengagihan kerusi dan 80% kerusi sudah diputuskan.

“Jangan fikir kami semua (termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad) bodoh dan hanya kamu seorang yang bijak dan baik dalam politik,” kata Ronnie di Facebook semalam.

“Sekarang semua orang dalam PH tahu siapa kamu.”

Selain Amanah negeri, DAP Selangor berkata mereka juga tidak tahu 80% kerusi sudah diputuskan.

“Bagi saya, kamu sudah gagal teruk. Kamu tidak layak jadi pengerusi negeri kami,” kata Ronnie.

Perkelahian antara parti komponen PH tercetus selepas Amanah dan DAP negeri berkata mereka tidak tahu tentang mesyuarat pengagihan kerusi DUN di Selangor seperti yang didakwa oleh Azmin.

Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata mereka hanya menghadiri 4 mesyuarat jawatankuasa pilihan raya sahaja, yang membincangkan strategi untuk PRU14. Reaksi Amanah dan DAP itu menyaksikan serangan bertalu-talu daripada beberapa pemimpin PKR negeri.

Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya dimuktamadkan 31 Januari lalu terpaksa dilanjutkan untuk seminggu lagi berikutan pertikaian antara parti komponen.

Kemelut di Selangor mendapat teguran daripada Dr Mahathir yang berkata pertelingkahan terbuka antara parti komponen gabungan itu di Selangor mengundang publisiti buruk dan meminta semua pihak bertelingkah berhenti menyerang sesama sendiri.

Semalam, Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata masalah agihan kerusi DUN Selangor tidak perlu dibangkitkan lagi kerana ia akan diselesaikan sesegera mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier Jayakumar ketika dihubungi enggan mengulas kenyataan Ronnie itu.

“Nanti saya hubungi dia,” katanya ringkas.

Naib Ketua Pemuda PKR Razlan Jalaudin pula menegur tindakan pemimpin DAP itu kerana mengeruhkan keadaan.

“Kami tidak melayan batu api. Sepatutnya sebagai pemimpin pakatan Harapan kita perlu menjadi orang tengah sebagai pendamai.”

Tiada ulasan: