ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah,
menyifatkan dakwaan Pakatan Harapan (PH) mampu menawan empat negeri
daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
nanti, sebagai satu jenaka.
Ahmad Bashah berkata, beliau tertarik dengan kenyataan Naib Presiden
PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin, itu sedangkan parti itu sendiri tidak
mampu menyelesaikan masalah pengagihan kerusi dengan Amanah di Selangor.
Menurutnya yang dipetik BH Online, perbalahan terbuka di antara PKR dan
Amanah di Selangor adalah contoh jelas yang semua tidak kena dalam
kalangan parti komponen PH.
"Saya agak hairan bagaimana seorang pemimpin PKR melaungkan keyakinan
PH akan menambah empat lagi negeri sedangkan ia masih bertelagah dengan
Amanah di Selangor.
"Mereka tidak mampu untuk bersetuju berhubung perkara asas seperti
pembahagian kerusi, tetapi mereka masih cuba meyakinkan rakyat yang PH
akan menang di sana sini," katanya kepada media selepas melancarkan
Jelajah Muafakat Masyarakat Berkoperasi' di Masjid Aman di Jalan Kuala
Kedah.
Ahmad Bashah mengulas dakwaan Shaharuddin yang PH mampu menang empat
lagi negeri pada PRU-14, dengan merampas Kedah, Perak, Negeri Sembilan
and Johor, berdasarkan keadaan semasa.
Shaharuddin membuat kenyataan itu pada sesi temubual Facebook live dengan sebuah akhbar semalam.
PH setakat ini memerintah dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor
manakala bekas rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, PAS masih mengusai
Kelantan.
"Ini hanyalah helah lama, apabila menghampiri pilihan raya umum, mereka
akan membuat pelbagai dakwaan seperti akan membentuk kerajaan
persekutuan dan kerajaan negeri yang baru, semata-mata untuk menarik
sokongan.
"Mereka telah melakukan begini dalam semua pilihan raya umum tetapi BN
masih memerintah Kerajaan Persekutuan dan majoriti kerajaan negeri di
bawah BN," ujarnya.
Bashah berkata, tujuan Shaharuddin membuat kenyataan itu adalah untuk
mengalihkan pandangan rakyat dari isu perbalahan dalaman melibatkan PKR
dan Amanah di Selangor.
"Adalah perkara biasa bagi mana-mana rakan politik untuk berselisih
pendapat, tetapi dalam BN kita berjaya memelihara keharmonian antara
komponen.
"Contohnya, dalam BN, perselisihan itu sekadar 'kocakan air di dalam
cawan' tetapi bagi PH, perbalahan mereka umpama gempa bumi yang menunggu
masa untuk menyembah bumi," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim,
menegaskan kepada PKR negeri itu supaya patuh kepada arahan kepimpinan
PH untuk menubuhkan jawatankuasa khas untuk membincangkan agihan kerusi
kawasan dewan undangan negeri, dalam kalangan parti komponen.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,
menempelak Amanah Selangor sebagai menipu dan tidak boleh dipercayai
kerana didakwa cuba memutar belit isu pengagihan kerusi di negeri itu.
Hari ini, sayap Pemuda Amanah membalas kenyataan Azmin kerana mengeruhkan hubungan di kalangan komponen PH Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan