Isnin, 9 Oktober 2017

Mahfuz Omar terbuka bertanding atas tiket PH PRU14 walaupun masih ahli PAS

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar terbuka untuk bertanding atas tiket Pakatan harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), walaupun sehingga kini masih ahli PAS.
 
"Terserah kepada Pakatan Harapan. Saya serah kepada Pakatan Harapan, kalau mereka merasakan memerlukan saya dan terpulang kepada mereka,"katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
"Saya tetap menyokong Pakatan Harapan sehingga sekarang ini, ke depan (sokong parti apa) semua itu dalam ilmu Allah.
 
"Tetapi hingga kini saya masih ahli PAS dan Ahli Parlimen yang memenangi atas tiket PAS yang menyokong Pakatan Harapan kerana saya tidak melihat bahawa selain daripada kerjasama politik Pakatan Harapan ini mampu untuk mengalahkan Umno," katanya.
 
Mahfuz berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kedudukan politik beliau yang hampir pasti namanya tidak tersenarai dalam senarai calon PAS yang akan bertanding pada PRU14.
 
Beliau yang cenderung kepada PH juga ditanya sekiranya akan mengubah hala tuju menyertai PH secara rasmi menjelang PRU14 atau kekal bersama dengan PAS.
 
Mahfuz berkata tidak kisah jika tidak lagi bergelar wakil rakyat selepas pilihan raya akan datang namun begitu mengharapkan Umno Barisan Nasional (BN) ditumbangkan.
 
"Yang penting bukan saya sebagai calon atau Ahli Parlimen tapi yang penting ialah Umno-BN dikalahkan demi untuk menyelamatkan negara dan rakyat.
 
"Itu (bertanding) tidak penting bagi saya, tidak menjadi masalah kepada saya kalau tak jadi wakil rakyat tetapi mesti ada perubahan kerajaan," katanya.
 
Mandat kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang bakal berakhir pada Jun 2018.
 
Untuk rekod Mahfuz bertanding pada PRU12 (2008) menewaskan calon Umno-BN Datuk Abdul Rahman Ibrahim dengan undi majoriti 5,731.
 
Pada PRU13 (2013) beliau berjaya mempertahankan kerusi kerusi Parlimen Pokok Sena dengan 34,657 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahlan Ismail yang memperoleh 30,485 undi

Tiada ulasan: