Isnin, 9 Oktober 2017

Nurul Izzah sedia bertemu Zahid bincang jenayah dadah dikalangan pelajar


 
Nurul Izzah sedia bertemu Zahid  bincang jenayah dadah dikalangan pelajar


Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengesa  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tarikh untuk mengadakan pertemuan secepat mungkin bersama pembangkang membincangkan isu berkaitan jenayah dadah dikalangan remaja di negara ini.

Beliau berkata, walaupun pernah Ketua Pembangkang menjemput Ahmad Zahid duduk semeja bersama pimpinan Pakatan Harapan beserta pihak berkepentingan lainnya dalam membincangkan kemelut ketagihan jenayah dadah dalam negeri yang juga menghantui pelajar tetapi pertemuan itu masih gagal.

Ini ekoran  kenyataan terkini Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar  ujarnya, telah  mengesahkan kebimbangan yang pembangkang pernah  suarakan selama ini iaitu seramai 1,475 pelajar pada tahun 2015 positif dadah.

“Saya turut menyuarakan masalah dadah di sekolah, walau diperlekeh oleh Timbalan Menteri Pendidikan dalam jawapan usul kamar khas di parlimen, 25 Julai lalu.

“Lebih parah, jawapan Timbalan Menteri Pendidikan bercanggah sama sekali dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri apabila beliau menyatakan penglibatan pelajar ‘mencuba’ dadah masih rendah dengan seramai 1,345 pelajar hingga bulan Mei 2017.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

“Beliau juga menafikan tiadanya data berkaitan penagihan dadah di kalangan pelajar sekolah.

“Saya menggesa Datuk Seri Zahid mengumumkan tarikh untuk kita duduk berbincang secepat mungkin bagi menjawab semua persoalan dan melahirkan cadangan bernas dalam usaha menangani bahaya dadah yang mengancam anak-anak kita,” ujarnya.

Menurut Nurul Izzah yang juga Naib Preiden PKR, kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan juga bercanggah dengan laporan AADK yang jelas menyatakan sebanyak 1,595 penagih dadah berusia antara 16 hingga 19 tahun pada 2016.

“Jumlah yang meningkat 16% berbanding 2015. Selain itu, penagih dadah berusia antara 13 hingga 15 tahun juga meningkat daripada 45 orang pada 2015 kepada 85 pada 2016.

“Mengapa wujudnya kontradiksi antara dua kementerian utama dalam negara?

“Jelasnya, fakta dan statistik yang dikeluarkan oleh pihak PDRM dan AADK secara langsung memperlihatkan dasar ‘sekolah bebas dadah 2012 beserta negara bebas dadah 2015’ gagal dicapai oleh kerajaan pemerintah Barisan Nasional,” ujarnya.

Justeru itu Nurul Izzah mendakwa, institusi pendidikan kini dalam bahaya apabila 420 buah sekolah disenaraikan sebagai zon risiko kegiatan dadah.

Dalam menyelesaikan masalah ini, ujarnya lagi, modul pendidikan pencegahan anti-dadah perlu diperhalusi semula.

“Hampir enam program pencegahan dadah dilaksanakan oleh kerajaan seperti PPDa, IMAN dan PINTAR, tetapi setiap kejayaan dalam program ini masih menjadi persoalan utama memandangkan kadar pelajar terlibat dengan jenayah dadah kian meningkat.

“Peningkatan masa ke atas aktiviti sihat seperti sukan dan kokurikulum juga dapat membantu pelajar tidak terlibat dengan jenayah dadah.

“Mengambil ikitbar daripada dasar negara Iceland, penglibatan pelajar dalam sukan selepas sekolah membantu anak muda mencegah dadah. Dasar ini melahirkan remaja Iceland yang paling tinggi mengamalkan gaya hidup sihat di Eropah.

Kadar remaja mengambil kanabis menurun sebanyak 17 peratus pada tahun 1998 kepada tujuh peratus pada tahun 2016. Remaja berumur 15 dan 16 tahun yang merokok di Iceland juga berkurang daripada 23 peratus pada 1998 kepada tiga peratus pada tahun 2016,” ujarnya.

Tiada ulasan: