Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: Bekas ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim kemungkinan
besar tidak akan bertanding pada mana-mana pilihan raya selepas ini.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata
keputusan untuk tidak bertanding bertujuan bagi memberi peluang kepada
muka baru seterusnya membantu membentuk generasi pemimpin muda terutama
dalam parti itu.
"Sebenarnya kita ada beberapa calon, kita tak umumkan lagi. Kita juga
nak dedahkan kepada pemimpin muda untuk bertanding dan seterusnya.
"Jadi pada saya sama ada saya bertanding atau tidak bertanding
sebenarnya tidak menjadi isu kerana saya akan ada di sana juga," katanya
kepada Antarapos.
Mohd Nasir berkata beliau akan memperkenalkan calon muka baru yang akan
menggantikannya di kerusi DUN Kota Damansara sekiranya memutuskan untuk
tidak kembali bertanding selepas gagal mempertahankan kedudukan selaku
wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum 2013.
"Hari yang dekat PRU14 nanti barulah kita umumkan siapa yang akan bertanding," katanya.
Mengulas lanjut Mohd Nasir berkata situasi itu juga menunjukkan PSM
sentiasa melakukan proses 'peremajaan parti' sebagai langkah untuk
meneruskan kesinambungan perjuangannya.
Mohd Nasir dalam pada itu berkata tidak bimbang sekiranya terpaksa berdepan saingan empat penjuru pada pilihan raya nanti.
"Menang dan kalah itu lumrahlah tapi kita nak lihatlah kalau kita bertanding di tempat yang kita pernah buat kerja.
"Kalau kita kalah kita nak tahulah kenapa kita kalah tapi kita akan kaji balik dengan mengadakan post-mortem," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata PSM dijangka akan bertanding lebih
banyak kerusi pada PRU14 termasuk di Pahang dan juga Kelantan.
"Negeri-negeri lain termasuk di Perak, Pahang dan juga kemungkinan Kelantan ada (calon PSM).
"Kali ini kita bertanding di banyak tempat tapi jumlah keseluruhannya tidak sampai tiga peratus pun," katanya.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata Pakatan
Harapan (PH) sedia berbincang dengan PSM mengenai pembahagian kerusi
namun bertegas siapa yang memulakan rundingan sebagai tidak penting.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan ketika dihubungi Antarapos
berkata sudah banyak kali PSM yang mulakan rundingan, justeru partinya
tidak akan berbuat demikian kali ini.
"Kami rasa tanggungjawab untuk membuat langkah pertama itu adalah di
tangan PH, bukan PSM. Kami sudah banyak kali buat langkah pertama,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan