Ahad, 8 Oktober 2017

Jamal bebas tahanan reman semalam

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Selepas dua hari ditahan reman oleh polis, ketua gerakan Baju Merah Jamal Md Yunos dibebaskan jam 7.30 malam semalam, lapor Malaysiakini.
 
Jamal yang sepatutnya ditahan reman sehingga hari ini, dibebaskan sehari lebih awal di ibu pejabat polis daerah Shah Alam.
 
Katanya, beliau dibebaskan awal kerana polis sudah melengkapkan siasatan mereka.
 
Jamal yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar ditahan reman mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram susulan protes yang dilakukannya di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis.
 
Jamal bersama pengikutnya ditahan kira-kira jam 1.45 pagi Jumaat di Sekinchan.
 
Ketika protes itu, Jamal memecahkan botol bir dengan menggunakan penukul simen, sebagai tanda protes terhadap pendirian kerajaan negeri membenarkan pesta arak diadakan dengan syarat penganjur mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
 
Beliau berkata penahanan itu tidak akan menghalangnya mengadakan protes terhadap isu lain.
 
Jamal berkata tindakannya itu bagi menunjukkan yang minum arak tabiat buruk.
 
“Bukan Islam saja larang minum arak, agama lain di seluruh dunia juga tidak pernah menyatakan minum arak perkara yang bagus.
 
“Agama lain turut melarang minum arak.
 
“Moralnya apa yang berlaku ialah untuk menghantar mesej kepada kerajaan negeri supaya tidak membenarkan penganjur adakan festival itu,” katanya.
 
Jamal ditahan reman bersama tujuh yang lain, termasuk pemandu dan pengawal peribadi. 
 
 

Tiada ulasan: