Ahad, 8 Oktober 2017

Reman 2 lagi anggota TLDM disambung 7 hari

 
Kedua-dua lelaki berumur 24 dan 31 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


2-tldm


LUMUT: Tempoh reman 2 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian dan mencederakan anggota TLDM dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, minggu lalu dilanjutkan selama 7 hari mulai esok.

Perintah sambung reman tersebut dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini setelah tempoh reman 7 hari kedua-dua suspek sebelum ini tamat hari ini.
  Kedua-dua lelaki berumur 24 dan 31 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada 29 September lalu, 2 anggota TLDM yang ditahan di bilik tahanan berkenaan iaitu Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru dipercayai akibat didera.

Selain itu, kedua-duanya juga direman mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan kes kecederaan 2 lagi anggota yang ditahan di bilik sama.

Pada 2 Oktober lalu, 2 anggota TLDM berpangkat Laskar Kelas 1 berumur 30 tahun membuat laporan polis mendakwa dicederakan di bilik tahanan sama dan mereka kini dirawat di bilik khas di Wad Pembedahan Lelaki, 96 Hospital Angkatan Tentera di Lumut.



Tiada ulasan: