KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan hampir RM6 bilion bagi
membangunankan 120 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara
dengan 83,759 unit rumah telah disiapkan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Jayaselan K.
Navaratnam, sebanyak 41 projek PPR dengan 15,327 unit pula sedang dalam
proses pembinaan manakala 23 projek dengan 10,066 unit masih dalam
perancangan.
Sabah menjadi negeri yang dibina paling banyak PPR iaitu 26,199 unit, katanya dipetik Bernama.
Beliau berkata pembinaan PPR bergantung kepada beberapa faktor
antaranya jumlah permintaan yang tinggi oleh penduduk di sesebuah
kawasan selain permohonan daripada kerajaan negeri untuk membina
kediaman kos rendah.
“Projek yang melibatkan kategori PPR Disewa dan PPR Dimiliki disasarkan
kepada penghuni setinggan dan golongan berpendapatan rendah yang
pendapatan isi rumah mereka tidak melebihi RM3,000 sebulan.
“Projek PPR Disewa disewakan dengan hanya RM124 sebulan manakala bagi
PPR Dimiliki, kosnya ialah RM35,000 seunit di Semenanjung dan RM42,000
seunit di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Mengenai permintaan terhadap PPR, Jayaselan berkata sambutannya amat
menggalakkan kerana rumahnya disewa dan dijual dengan kadar cukup rendah
berbanding kadar pasaran jenis perumahan lain yang boleh mencecah
antara RM150,000 sehingga RM180,000 seunit.
“Subsidi kerajaan kepada PPR yang kadang kala mencecah lebih daripada
200 peratus merupakan inisiatif murni kerajaan dalam membantu golongan
miskin untuk memiliki rumah idaman mereka sendiri,” katanya.
PPR diselia oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan melalui JPN, yang terdiri daripada rumah bertingkat
bagi kawasan bandar dan rumah teres untuk di pinggir bandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan