Ahad, 8 Oktober 2017

Ibu bapa dera anak wajib hadiri kaunseling - Rohani

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang terlibat dengan kes penderaan kanak-kanak mungkin diwajibkan menjalani sesi kaunseling dan kursus keibubapaan selepas mereka menjalani hukuman mahkamah sekiranya disabit kesalahan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
 
Ujarnya langkah berkenaan bagi memastikan kes penderaan kanak-kanak tidak lagi berulang selain menjadi pengajaran kepada ibu bapa.
 
“Kes-kes sebegini menguatkan tekad saya untuk turun padang mengadakan ceramah dan saya nak mewajibkan kursus kepada ibu bapa.
 
“Dalam perkara seperti ini, apabila disabitkan akan dikenakan hukuman yang biasa, hukum dan denda...selepas itu mereka perlu mengikuti kursus keibubapaan dan kaunseling,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Larian Amal Pink Wig-A-Thon 2017 anjuran Pink Ribbon Wellness Foundation di Taman Botani Perdana, di sini hari ini.
 
Rohani merujuk kepada kes penderaan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Bandar Indera Mahkota, Kuantan yang dilaporkan media baru-baru ini.
 
Susulan kes itu, seorang anggota tentera berusia 32 tahun dan isterinya berusia 37 tahun yang merupakan ibu kandung mangsa, ditahan reman selama enam hari bermula 6 Oktober.
 
 

Tiada ulasan: