Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
memberitahu tindakan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang
mahu memfailkan pembelaan berhubung kes saman fitnah membabitkan
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang. akan menemui kegagalan.
Ini kerana jelas beliau, tempoh yang diberikan kepada Clare sebelum ini
telah tamat dan beliau sehingga kini gagal mengemukakan bukti berhubung
dakwaannya itu.
Malah Tuan Ibrahim juga yakin, peluang Hadi untuk menang adalah cerah
dalam usaha membersihkan namanya terhadap tuduhan fitnah dilemparkan
Brown menerusi artikelnya dalam Sarawak Report.
"Dia gagal menunjukkan bukti tuduhan-tuduhan dia tu. Maka hakim minta
supaya dia kemukakan bukti tuduhan. Hakim beri tempoh dua minggu untuk
dia buat tetapi dia tidak serah. Kemudian dia tukar peguam lain, dan
minta tangguh kepada mahkamah. Namun mahkamah tidak beri tempoh tangguh.
"Saya tengok ia sangat memihak kepada Presiden sebab dia disaman
Presiden. Hingga setakat ini sebab dia gagal kemukakan pembuktian
pertuduhan tersebut. Hingga berlaku dua tiga kes yang pertama sekali dia
minta rayuan kemudian hakim tidak benar (kan). Kemudian dia buat
pertukaran peguam dia setelah dia kena 'charge' oleh mahkamah peringkat
pertama itu (peringkat pengurusan kes)," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Brown, dalam kenyataan terbarunya kepada sebuah portal memberitahu
pihaknya bakal menfailkan pembelaannya tidak lama lagi berhubung saman
yang membabitkan Hadi itu.
Terdahulu, prosiding pengurusan kes itu pada 2 Ogos lalu dilaporkan
menolak permohonan Brown untuk meminta Hadi mendepositkan sejumlah wang
di mahkamah sebagai jaminan keselamatan bagi memenuhi anggaran kos
sebelum samannya bermula. Mahkamah turut mengarahkan Brown memfailkan
pembelaannya sebelum 30 Ogos.
Bagaimanapun, Brown diberi masa yang lebih selepas melantik peguam baharu.
Mahkamah juga telah menerima tawaran Hadi untuk meletakkan wang pendahuluan sebanyak RM80,000 sebagai deposit keselamatan.
Saman itu secara rasminya difailkan di Mahkamah Tinggi London pada 21
April lepas berhubung satu artikel ditulis Brown pada Ogos 2016.
Saman berkenaan susulan laporan terbitan Sarawak Report pada 6 Ogos
2016, yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS
sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak "memikat" kepimpinan parti Islam
itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.
Sementara itu, mengulas berkenaan bekas anggota parti itu di Kelantan
yang menyertai Umno, Tuan Ibrahim sambil mengesahkan perkara itu,
walaubagaimanapun berkata ia hanya membabitkan segelintir individu
sahaja.
"Saya dah periksa. Tidak ada pun 50 orang. Adalah beberapa orang yang
dia memang ahli PAS sebelum ini kemudian dia keluar dari PAS. Kalau dia
kata PAS bercelaru, kalau dia join Umno lagi teruk. Masalah ini bukan
PAS, dia pada peribadi dia.
"PAS tidak benar ubah dasar perjuangan dan kerana itu kalau dia keluar
dari PAS masuk Umno makna masalah itu diri dia bukan pada parti,"
tambahnya.
Petang semalam, seramai lima puluh bekas ahli PAS dari DUN Tendong,
Pasir Mas Kelantan bertindak menyertai Umno atas alasan parti berteras
Islam itu kian bercelari dan tersasar daripada landasan perjuangan
terutama selepas pemergian bekas Mursyidul Am parti itu, Allahyarham
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan