PUCHONG: Pakatan Harapan (PH) sentiasa terbuka dengan mana-mana parti
untuk berbincang mengenai agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Naib Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tentang siapa
yang mengambil langkah pertama itu bukanlah satu isu yang perlu
diperbesarkan.
"Tidak perlu bertanya siapakah patut mulakan. Yang paling penting, jika
kedua-dua pihak bersetuju (untuk berbincang), itu adalah perkembangan
positif," kata menteri besar Selangor kepada pemberita di Bandar
Kinrara, Puchong, hari ini.
Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, berkata demikian apabila
ditanya sama ada Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepatutnya menemui PH
untuk perbincangan mengenai rundingan kerusi, atau sebaliknya dalam
memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
Anggota jawatankuasa pusat PSM S Arutchelvan semalam mendakwa bahawa
PH, sejak pembentukannya, belum lagi mendekati partinya untuk sebarang
rundingan menjelang PRU14.
Arutchelvan berkata demikian dalam sidang media di mana beliau
diumumkan sebagai calon PSM untuk kerusi Parlimen Hulu Langat, bersama
dengan pendatang baru Nik Aziz Afiq sebagai calon kerusi DUN Semenyih.
Pada masa yang sama, PSM dalam kenyataan akhbarnya menyatakan bahawa ia
"bersedia untuk pakatan atau kerjasama pilihan raya di kawasan di mana
parti itu bertanding bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru."
Azmin, yang mengakui hak PSM untuk meletakkan calonnya, juga mengulangi
kesediaan PH untuk berbincang dengan mana-mana parti yang berkongsi
aspirasi untuk perubahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan