SETIAP parti politik kini pastinya sedang menyiapkan senarai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
Ini kerana, penggal PRU-13 sudah berada
di penghujungnya. Namun, bila Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) bakal dibubarkan masih teka-teki.
Kini rakyat, pengundi dan barisan
kepimpinan parti politik semuanya sedang menunggu tarikh pembubaran itu
sebelum diumumkan tarikh PRU-14.
Apabila dibubarkan kelak, pasti ramai pihak atau individu yang melobi untuk menjadi calon sesebuah parti politik.
Itu sudah lumrah dalam politik.
Sedangkan ketua kampung atau tok empat pun enggan melepaskan jawatan, inikan pula seorang wakil rakyat.
Oleh itu, tidak hairanlah ramai yang akan melobi untuk menjadi calon.
Tetapi, setiap parti politik pastinya
mempunyai kriteria tersendiri dalam pemilihan calon terutama calon yang
disebut sebagai ‘winnable candidate’.
Semua parti politik pastinya mahu meletakkan ‘winnable candidate’ bagi meraih kemenangan dan kuasa untuk memerintah.
Tetapi, itu belum boleh menjadi faktor
utama kemenangan. Ia perlu diberi nilai tambah supaya keyakinan untuk
menang itu menjadi lebih tinggi lagi.
Apakah nilai tambah berkenaan?
Perkara paling penting kepada semua parti politik dalam PRU-14 akan datang adalah meyakinkan pengundi.
Tidak cukup dengan hanya menampilkan ‘winnable candidate’ semata-mata.
Perkara ini dilihat lebih kukuh jika ditambah dengan penampilan pemimpin muda yang diketengahkan parti politik.
Setiap parti politik perlu membuka ruang lebih luas kepada barisan muda untuk diketengahkan dalam PRU-14.
Hal ini penting kerana citarasa pengundi muda pada ketika ini amat berbeza dengan generasi sebelum ini.
Mereka mudah mendekati pemimpin muda yang dianggap lebih memahami keperluan dan kepentingan mereka.
Bukan hendak menafikan pemimpin senior
dan veteran, tetapi realiti politik hari ini memerlukan kepada lebih
ramai calon muda yang berketerampilan.
Apa pula peranan pemimpin senior dan veteran?
Mereka sebenarnya boleh bertindak sebagai mentor atau guru politik kepada pemimpin muda.
Pemimpin senior dan veteran yang tetap
dicalonkan dalam PRU-14 pula boleh menjadi role model kepada calon
junior yang bakal diketengahkan.
Dengan cara itu, akan berlaku proses transisi kepimpinan dan pendidikan politik secara terancang dan teratur.
Hal ini dapat mengelak konflik kepimpinan bahkan sokongan diperoleh secara berterusan daripada pengundi muda.
Persoalannya, adakah parti-parti politik di negara ini bersedia membawa masuk calon muda dalam PRU-14?
Bersediakan Barisan Nasional (BN) untuk mengenengahkan lebih ramai calon muda pada PRU-14?
Melalui Transformasi Nasional 2050
(TN50) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini, sewajarnya BN perlu berani
menampilkan ramai calon muda.
Siapakah yang boleh mendukung aspirasi dan matlamat negara untuk masa hadapan misalnya TN50?
Tidak lain tidak bukan, di tangan pemimpin muda sama ada dalam BN atau di luar BN.
Jadi, apa sahaja kehendak, kepentingan
dan impian belia di Malaysia perlu diambil kira sebagai pengisian dan
wadah dalam TN50 nanti kerana merekalah bakal mencorakkan keadaan negara
pada masa hadapan.
Cuma berani atau tidak parti politik terutama BN untuk berbuat demikian?
Tiada ruginya jika parti politik mencalonkan ramai pemimpin muda terutama yang dikenal pasti sebagai ‘winnable candidate’.
Jika dilihat pada statistiknya, pengundi
muda merangkumi 38.8 peratus atau lebih 4.5 juta daripada lebih 12 juta
pengundi di negara ini.
Kedudukan pengundi muda ini sebenarnya
unik kerana agak sukar untuk mengenal pasti sokongan golongan ini, sama
ada berpihak kepada parti kerajaan ataupun pembangkang. Mereka lebih
suka dilihat berkedudukan di atas pagar.
Kajian lalu membuktikan 62 peratus
pengundi muda tidak menyokong sesiapa, mereka hanya akan menentukannya
ketika hari pengundian berlaku.
Jadi, apakah strategi yang boleh digunakan oleh BN untuk memancing golongan ini?
Mungkin salah satu caranya adalah dengan menampilkan calon muda.
Tidak dinafikan setiap tindakan itu pasti ada risikonya. Namun, jika tidak berani mencuba, bila lagi masanya?
Jangan pula menyesal kemudian hari jika tewas kerana meletakkan calon orang lama yang tidak digemari pengundi muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan