Selasa, 1 Ogos 2017

7,000 pengundi baharu bukan orang Selangor, kata Adun DAP Sekinchan

AKHBAR RAKYAT



PENGUNDI dari Kuala Lumpur, Melaka dan malah sejauh Sabah diberikan alamat di Sekinchan, Selangor, secara automatik menjadikan mereka pengundi di kawasan itu, kata DAP yang mendakwa ia antara contoh penipuan pilihan raya.

Sejak suku ketiga tahun lalu, DAP membantah hampir 3,000 pengundi berdaftar dalam draf tambahan daftar pilihan raya yang disiarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setiap tiga bulan.

Adun Sekinchan Ng Suee Lim daripada DAP berkata di beberapa perkampungan kecil dengan sembilan atau 10 rumah, terdapat ratusan pengundi berdaftar termasuk Cina, India dan Orang Asli.

“Ini perkampungan tradisional Melayu di mana orang bukan Melayu tidak pernah tinggal di sini,” katanya

Ng berkata betul apa yang Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos kata dia daftarkan 7,000 pengundi baharu tetapi menuduh pemimpin Baju Merah itu mendaftarkan pengundi Cina dan India sebagai penduduk di tanah rizab Melayu.

Kerusi Parlimen Sungai Besar meliputi dua kerusi DUN – Sekinchan dan Sungai Panjang. Ng percaya majoriti daripada 7,000 pengundi baharu itu didaftarkan di Sungai Panjang.

“Tanah rizab Melayu tidak boleh dijual pada bukan Melayu,” kata Ng, Adun Sekinchan sejak tiga penggal lalu. Beliau memenangi pilihan raya sebelum ini dengan majoriti 2,239 undi.

Pengundi baharu berkenaan disyaki didaftarkan di beberapa kampung termasuk Kampung Tali Air 6 hingga 9, Kg Parit 7 Baruh, Kg Parit 7 Tali Air 7, Kg Parit 8 Tali Air 8 dan Kg Parit 8 Sg Leman.

“Jika seorang atau dua pengundi itu normal, kerana anda berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Saya boleh terima jika begitu.

“Tetapi dengan jumlah sebesar itu, ada yang tidak kena kerana semuanya itu dirancang. Dirancang dengan sangat baik,” katanya menambah beliau akan membuat laporan polis tidak lama lagi.

The Malaysian Insight meninjau di beberapa alamat di tanah rizab Melayu dan penghuninya berkata mereka tidak tahu sebarang nama yang didaftarkan di alamat berkenaan.

Mereka juga terkejut apabila mengetahui Cina dan India antara yang berdaftar di rumah orang Melayu.

“Anda boleh lihat kebanyakannya mempunyai nombor kad pengenalan yang menunjukkan mereka dari luar Selangor,” kata Ng merujuk kepada pengundi berdaftar di tanah rizab Melayu.

Menurut data daftar pemilih SPR, 16,247 pengundi di Sekinchan terdiri daripada 56% Cina, Melayu (42%) dan India (2%). Majoriti masyarakat Melayu di situ terdiri daripada orang Jawa dan Banjar.

Sementara itu, Jamal mendakwa Ng main “politik kotor” dan mencabarnya membuat laporan polis.

“Biar dia buat laporan polis. Kami (Umno) kenal pasti apa yang kami panggil DNA Umno. Kami cuba daftar anak kepada ahli Umno. Kami tidak daftar pengundi Cina atau India.

“Malah, saya percaya Ng sendiri yang guna taktik itu untuk salahkan Umno dan kata kami yang buat. Kenapa saya perlu buat begitu?

“Saya sebenarnya cuba menambah peratusan pengundi Melayu untuk bantu kerusi Sungai Besar.

“Ada ramai anak Umno (anak ahli parti) yang kami cuba hendak daftarkan. Kami sedang cuba mengimbangkan demografi pengundi bukan Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jamal berkata Ng sendiri yang mungkin mendaftarkan pengundi berkenaan, bermain politik kotor untuk memastikan kemenangan keempatnya di Sekinchan.

Dalam laporan terdahulu Jamal dilaporkan berkata beliau “menemui” 7,000 pengundi baharu di Sekinchan dalam usaha Barisan Nasional (BN) menawan Selangor pada pilihan raya akan datang.

Jamal dilaporkan berkata kawalan terhadap kawasannya di Sekinchan dan Sungai Panjang penting dalam usaha Umno menawan kembali kawasan Parlimen Subang yang dipegang R Sivarasa daripada PKR sejak 2008.

BN di Selangor mempunyai 21 kerusi pada 2008 dan berkurangan kepada 12 saja pada 2013. Semua 12 kerusi itu pada masa ini dikawal Umno termasuk di Sungai Panjang.

Bersih 2.0 mendesak SPR mengambil tindakan segera mencegah manipulasi dan penipuan dalam daftar pemilih, susulan dakwaan Jamal yang Umno sedang bekerja keras memindahkan pengundi ke kawasan marginal.

Bersih 2.0 berkata jawatankuasa pemilih Parlimen dan inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja menemui bukti yang daftar pemilih dimanipulasikan untuk kepentingan parti tertentu.

“Walaupun sepatutnya bertindak atas bukti, SPR sebaliknya membantu menyembunyikan salah laku itu dengan enggan memberikan salinan draf daftar pemilih dengan maklumat lengkap dan tidak melayan permintaan NGO dan parti politik untuk berjumpa dan membincangkan isu itu.

“Selagi SPR terus gagal melindungi hak demokrasi rakyat untuk mendapatkan pilihan raya adil, kemungkinan kesimpulan yang dapat dibuat ialah mereka bekerjasama dengan parti tertentu untuk membantu usaha mereka dalam menentukan keputusan PRU14 sebelum undi dibuang,” kata Bersih 2.0.

Dalam satu kenyataan pada Mac, SPR berkata ia akan 100% bergantung pada data pengundi, termasuk alamat kediaman dari Jabatan Pendaftaran Negara.

Bagaimanapun, SPR berhenti menggunakan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun


Tiada ulasan: