Ahad, 2 Julai 2017

Isu DoJ: Akhbar milik Umno tabik Presiden Pas

ARIF ATAN

Presiden Pas dan mufti dilihat menjadi perisai Umno BN mengecam DoJ melalui akhbar milik parti itu


Akhbar Mingguan Malaysia hari ini terus memuji Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana dianggap menolak apa yang didakwa 'campur tangan asing' berhubung skandal rasuah mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Melalui ruangan Analisis Mingguan di halaman enam, editorial akhbar milik Umno itu, Awang Selamat berpendapat sikap Abdul Hadi kekal dan tidak berubah mengenai isu tersebut.

"Dalam soal menolak campur tangan asing berhubung isu 1MDB, pendirian Pas terutama Presidennya, Hadi Awang cukup konsisten.

"Awang tabik dengan ketegasan Hadi termasuk dalam serangan kedua isu saman sivil 1MDB yang dikitar semula oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dengan bantuan pihak tertentu di Malaysia yang bermotif politik," tulisnya.

Menurut Awang, pendirian Abdul Hadi itu juga senada dengan enam mufti lain bahkan rakyat dan pelbagai pihak di negara ini sekali lagi bersatu menentang DoJ seperti ketika 'serangan pertama' isu DoJ pada tahun lalu.

"Begitu juga dengan seruan lantang pelbagai pihak termasuk Mufti Perak, Harussani Zakaria; Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman; Mufti Negeri Sembilan, Mohd. Yusof Ahmad;

"Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri; Mufti Kedah, Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad dan Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil membantah campur tangan asing walau apa pun alasannya," kata Awang.

Selanjutnya, halaman 14 akhbar itu turut memuatkan gambar dan petikan kenyataan mufti terbabit termasuk dua lagi iaitu Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Walau bagaimanapun, foto paling besar dan diletakkan di bahagian teratas melampaui senarai mufti tersebut adalah gambar Abdul Hadi bagi ruangan diberi tajuk, 'Tolak konspirasi DoJ' itu.

Turut disertakan, 10 hujah menjawab kewajaran menolak apa yang dituduh sebagai 'konspirasi DoJ' serta ilustrasi ular besar bertaring sedang membelit imej berupa bangunan Parlimen yang betul-betul berada di depan mulut binatang berbisa ditulis sebagai DoJ itu.

Mengulas lanjut di Analisis Mingguan, Awang "yakin sebarang komplot mengheret campur tangan asing bagi menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi tidak akan berjaya."

Dilihat bagi menguatkan hujah membuktikan kegagalan campur tangan asing, Awang juga menyertakan contoh yang berlaku di Turki dan Filipina.

"Lihatlah apa yang berlaku di Turki pada Julai 2016 apabila cubaan rampasan kuasa tentera yang didorong kuasa asing gagal malah rakyat bangkit mempertahankan pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

"Di Filipina, sentimen anti-AS melonjak dengan rakyat memperhebatkan sokongan ke atas Presidennya, Rodrigo Duterte," katanya lagi.

Dalam hal berkaitan, kolumnis akhbar itu, Johardy Ibrahim pernah secara berterus-terang mengakui akhbar Utusan paling tepat dilabel "akhbar milik parti pemerintah".

Beliau dalam ruangannya, Merrepak Mei lalu memberitahu Umno memegang majoriti ekuiti pemilikan Kumpulan Utusan.

"Jadi bila media pro-pembangkang seperti Malaysiakini melabelkan Utusan sebagai 'akhbar dikuasai kerajaan', ia sebenarnya sedikit menyeleweng kerana memberi gambaran akhbar ini lemah, lalu dikuasai pihak berkuasa.

"Hakikatnya, akhbar ini adalah milik parti pemerintah. Bukan 'dikuasai' tetapi sememangnya 'dimiliki'. Tiada apa hendak disorok," kata Johardy lagi.

Tiada ulasan: