Ahad, 2 Julai 2017

Najib halang pelajar luar negara jumpa pembangkang, kata Mahathir

ULASAN oleh DR MAHATHIR MOHAMAD

Mahathir beraya di London


Saya berada di London untuk beraya bersama anak dan cucu. Mereka tidak dapat balik untuk beraya di K.L.

Untuk sembahyang Raya, saya ke masjid baru di Acton. Masjid ini bukan milik kerajaan tetapi oleh NGO. Keadaan amat selesa. Dewan sembahyang dipenuhi 90% oleh orang Melayu Malaysia, kebanyakannya penuntut.

Imam yang mengimamkan sembahyang dan berkhutbah adalah seorang orang Melayu Singapura yang tinggal di London sejak tujuh tahun dahulu. Khutbahnya amat baik, menyeru kepada kehidupan orang Islam seperti yang dikehendaki agama Islam – iaitu berbaik-baik sesama orang Islam dan juga dengan bukan Islam.

Lepas sembahyang ada sedikit jamuan kuih-muih, lemang dan serunding. Saya dan isteri berkesempatan berbual-bual dengan hadirin, termasuk penuntut. Saya dapati penuntut tidak langsung bertanya akan keadaan di Malaysia, terutama politik. Mereka ternampak takut walaupun mesra.

Saya diberitahu kemudian bahawa mereka dimarah oleh Kerajaan Malaysia (tidak diberitahu siapa) kerana berada di tempat yang saya berada. Sebenarnya tidak ada penuntut yang berjumpa saya di masa-masa lain pun. Mereka takut biasiswa mereka ditarik balik. Demikian sifat Najib.

Najib nampak amat takut saya mempengaruhi penuntut. Sebenarnya saya diberitahu bahawa penuntut atau bukan penuntut di mana-mana sahaja amat benci kepada Najib kerana sebab-sebab yang diketahui umum.

Di zaman dahulu, parti lawan bebas berjumpa dengan penuntut di mana-mana sahaja. Mereka dapat mendengar syarahan pemimpin parti lawan, bahkan menubuh kelab-kelab parti lawan. Tetapi sekarang mereka tidak lagi bebas, terutama jika melibatkan saya.

Hari Raya adalah hari istimewa. Bagi umat Islam kita perlu sembahyang bersama, berslam-salaman, memohon maaf zahir dan batin, bermesra. Najib mungkin tidak faham ini.

Saya diberitahu rumah terbuka Najib meriah dan ada hibur-hiburan. Alhamdulillah. Saya ucap Selamat Hari Raya kepada Najib dan keluarganya serta penyokong-penyokongnya. Tanpa dipinta, saya maafkan mereka-mereka yang sepanjang tahun memfitnah saya khususnya TV3, Utusan Malaysia, New Straits Times, Salleh Said Keruak, Tunku Aziz, Annuar Musa dan beberapa lagi.

Kami suami isteri melawat kawasan menara terbakar. Polis tidak benarkan sesiapa mendekati menara terbakar ini.

Saya telah lihat di TV semasa saya masih di Malaysia kebakaran yang berlaku. Ternampak api yang membakar menara ini pelik dan berbeza sangat dari rumah terbakar lain. Ia seperti jamong gergasi.

Dari bawah api naik di luar bangunan. Sebabnya ialah bahan yang digunakan sebagai dinding luar dari jenis yang mudah terbakar.

80 orang dikesan mati terbakar kerana kebakaran bermula dari tingkat empat hingga ke bumbung, dalam dan luar.

Kerajaan mengarah supaya penduduk empat menara berdekatan yang diperbuat dengan bahan yang serupa supaya keluar dan tinggal di hotel.

Sembilan puluh peratus penduduk menara yang terbakar terdiri dari orang afrika, Arab dan Asia. Ramai dari mereka orang Islam. Bangunan ini dimiliki oleh dewan bandaraya.

Beratus-ratus jiran memberi pertolongan sukarela. Makan dan minum diberi percuma dan sukarelawan juga mengurus bantuan beribu kotak. Ramai yang menabur bunga di kawasan berdekatan, terutama di sekitar gereja.

Kerajaan sedang berusaha menurunkan bahan mudah terbakar dari hampir seratus menara di London dan bandar-bandar lain.

Sesungguhnya kebakaran menara ini merupakan satu malapetaka yang perlu dijadikan pengajaran kepada semua kita. Saya percaya menara di Malaysia biasanya diperbuat bahagian luarannya dari simen, batu-bata dan granite yang tidak mudah terbakar. Namun demikian, “fire-drill” perlu diadakan supaya penghuni tahu bagaimana menyelamat diri mereka. Tangga-tangga keselamatan perlu berada dalam keadaan tidak diganggu dengan barangan.

Saya dan keluarga ucap takziah terhadap keluarga mangsa kebakaran menara di London.

Tiada ulasan: