Selasa, 25 Julai 2017

Najib hentam Dr Mahathir dan PH di hadapan pelabur asing



Perdana menteri mempertahankan dasar ekonominya dan berkata pembangkang tidak akan mengakui kejayaan kerajaan sejak beliau mengambil alih pada 2009.


najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengambil peluang menyerang Pakatan Harapan dan seorang “ahli politik pencen” dalam program yang dihadiri pelabur dalam dan luar negara.

Di hadapan lebih 900 hadirin acara Invest Malaysia 2017, beliau antara lain menyifatkan struktur rasmi pimpinan pembangkang yang baru diumumkan minggu lalu seperti “program kembali bekerja” untuk ahli politik lama.

Beliau menyifatkan barisan pimpinan itu sebagai mengarut, dan berkata ia juga tidak menjelaskan kedudukan sebenar apabila tidak diketahui pemimpin mana yang mempunyai kuasa eksekutif.

“Struktur pimpinan terbaru pembangkang yang diumumkan adalah mengarut, kedengaran seakan program kembali bekerja untuk politikus tua yang sudah pencen.

“Dan berhubung calon perdana menteri, pembangkang kini terdesak sehingga cuba meyakinkan rakyat yang (calon itu) adalah seorang ‘nonagenarian’ (berumur 90-an) yang bukan pun ahli parlimen, dan partinya hanya ada 1 kerusi,” katanya.

Walaupun tidak menyatakan secara khusus, jelas kenyataan Najib ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, kini pengerusi Pakatan Harapan dan PPBM.

Najib berkata DAP sengaja tidak ditonjolkan dalam barisan pimpinan tertinggi PH, menyifatkannya strategi memperdaya pengundi khususnya orang Melayu.

“Namun dalam demokrasi, angka tidak menipu. DAP kekal parti paling dominan. Orang yang memimpin DAP untuk separuh abad lalu kini bersembunyi di belakang seorang yang pernah memenjarakannya,” katanya lagi, dipercayai merujuk kepada Lim Kit Siang dan Dr Mahathir.

Najib turut menuduh pembangkang menyebarkan maklumat palsu berhubung keadaan ekonomi untuk merosakkan imej negara di mata dunia.

“Anda tidak akan dengar faedah hubungan kita dengan China, India, Arab Saudi dan negara lain daripada pembangkang. Malah ada kempen untuk menyebarkan maklumat salah ke luar negara.

“Maka jika anda mendapat tahu dari sumber yang tidak menyemak fakta itu, tolong berhati-hati. Ia tidak adil bagi rakyat Malaysia, dan juga komuniti perniagaan di dalam dan luar negara,” katanya.

Katanya, penilaian badan antarabangsa terhadap Malaysia jelas menunjukkan rekod baik ekonomi Malaysia, misalnya oleh Laporan Menjalankan Perniagaan 2017 Bank Dunia yang meletakkan negara pada kedudukan kedua dalam Asean, serta Laporan Daya Saing Global 2016-2017 oleh Forum Ekonomi Dunia yang meletakkan negara pada tangga keempat dalam aspek perlindungan terhadap pelabur.

Tiada ulasan: