Dr Mahathir kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani.
KUALA LUMPUR: Penyeksaan pembangkang ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri adalah kecil berbanding kepentingan rakyat, hari ini, kata Anwar Ibrahim.
Ketua Umum PKR itu berkata, walaupun terdapat tentangan daripada rakan pembangkang dan aktivis sosial terhadap kerjasama pembangkang dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, beliau secara peribadi mengaku-alukan kehadiran Dr Mahathir bersama pembangkang.
“Pada hemat saya kehadiran Dr Mahathir dan PPBM adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati.
“Secara peribadi saya alukan kesediaan Dr Mahathir untuk turun mengharungi perjuangan bersama.
“Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Otai Reformasi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan beberapa NGO dan badan Islam serta aktivis telah mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Harapan meletakkan Dr Mahathir dalam barisan tertinggi mereka.
Kumpulan berkenaan khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan reformasi dan agenda perubahan serta rasa curiga muslihat sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah.
Mereka juga mendakwa akan berlaku cubaan untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga autokratik seperti rejim kini
“Dr Mahathir kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani.
“Beliau harus diberikan ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat,” kata Anwar, dan menambah struktur blok pembangkang adalah berbeza daripada Barisan Nasional (BN).
Bekas ketua pembangkang itu berkata, kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang pengerusi parti mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang wujud.
“Dasar bersama yang dipersetujui telah didedah kepada khalayak secara telus.
“Ia adalah agenda rakyat yang diusung oleh Pakatan Harapan,” katanya lagi dan menjadikan Selangor serta Pulau Pinang sebagai contoh kejayaan pembangkang di peringkat Pusat mentadbir negeri.
Anwar berkata rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau perjalanan dan prestasi Pakatan Harapan dan menegur atau mengemukakan cadangan.
“Saya tetap berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU ke 14,” tambahnya.
Anwar bagaimanapun berkata pihaknya menghargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan pembangkang berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan