Selasa, 25 Julai 2017

Pandu dilorong kecemasan, bekas Timbalan Ketua Pengarah JPJ tukar pengakuan

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob menukar pengakuannya kepada tidak bersalah atas tuduhan memandu di lorong kecemasan, tahun lalu.
 
Pengakuan itu dibuat di depan Majistret Syahrul Sazly Md Sain selepas Yusoff, 58, dihadapkan ke Mahkamah Majistret sekali lagi, atas perintah Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman.
 
Ab Karim mengeluarkan perintah itu pada 21 Julai lalu selepas membenarkan permohonan semakan semula kes terbabit.
 
Yusoff, sebagai orang kena saman (OKS) hadir pada jam 8.30 pagi dituduh memandu di lorong kecemasan di dalam kereta bernombor plat BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya pada jam 6.27 petang, 7 Oktober 2016.
 
Memetik laporan BH Online, beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) (c) dan boleh dihukum Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan 1987, denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Fauzan manakala Yusoff diwakili peguam Datuk Baljit Singh Sidhu.
 
Syahrul Sazly menetapkan 21 Ogos ini sebutan semula kes bagi mendapatkan keputusan representasi.
 
Pada 18 Julai lalu, Yusoff yang kini bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret, selepas pegawai khasnya hadir bagi pihaknya sejurus mengaku bersalah atas tuduhan sama.
 
Bagaimanapun, Ab Karim memerintahkan Yusoff perlu menjawab sendiri tuduhan yang dikenakan terhadapnya bukan menggunakan wakil seperti sebelum ini.
 
Justeru Ab Karim yang menjalankan kuasa semakan mengetepikan sabitan dan hukuman yang dibuat Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.
 
Beliau memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret dibicarakan di hadapan majistret lain.
 
Sementara itu, di luar mahkamah Baljit memberitahu pemberita, anak guamnya mengaku bersalah dalam prosiding lalu kerana tidak diwakili peguam.
 
 

Tiada ulasan: