TAPAH: Seorang lelaki cedera apabila lori dipandunya merempuh belakang
sebuah bas ekspres Transnasional di Kilometer 310.4, Lebuhraya Utara
Selatan (PLUS), arah utara di sini, tengah malam tadi.
Bagaimanapun, pemandu dan 10 penumpang bas ekspres berkenaan terselamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, anggota dari
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah yang menerima panggilan pada jam
12.56 tengah malam bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu anggota
BBP Gopeng.
"Kejadian membabitkan lori merempuh belakang bas menyebabkan pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan kerana tersepit.
"Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan
mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk tindakan
selanjutnya," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemandu dan semua penumpang bas ekspres yang terselamat kemudian meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain.
Katanya, operasi tamat jam 1.42 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan