Oleh Athirah Hanapiah & Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Hanya selepas perundangan Islam dilaksanakan, masyarakat
akan dapat menilai keadilan sebenar yang ditawarkan, kata Setiausaha
Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh.
Justeru Nik Zawawi berkata, mana-mana negeri yang mahu memartabatkan
perundangan Islam tidak harus dihalang atau dipersendakan sebaliknya
dipermudahkan urusan itu.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan pihak tertentu yang
mempersoalkan keputusan DUN Kelantan yang sebulat suara meluluskan
pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2017 yang antara lainnya
memperuntukan hukuman sebat ke atas penjenayah dilakukan secara terbuka.
"Apa yang diputus sekarang di negeri Kelantan itu adalah satu benda
yang terbaik dan kita tak nak jawab kepada orang yang terkeliru ini
sebab kita akan jawab selepas kita laksanakan dan semua pihak akan
tengok bagaimana keadilan dan kebaikan Islam, dan baru mereka akan faham
bagaimana sebat dalam Islam.
"Yang keliru ni kadang-kadang dia nampak sebat dalam Islam ni macam
sebat yang ada dalam mahkamah sivil," katanya ketika ditemu bual
Antarapos.
Nik Zawawi berkata banyak pihak yang cuba mempolemikkan pindaan itu
tidak memahami fakta sebenar sebelum bersuara terutama isu sebat secara
terbuka.
"Bila kita laksanakan hukuman sebat dalam Islam ini, InsyaAllah
penjenayah-penjenayah itu sendiri akan lihat bagaimana Islam ini adalah
agama yang sederhana dan agama yang bukannya fokus untuk menghukum
manusia.
"Tetapi Islam lebih fokus untuk mendidik manusia supaya penjenayah-penjenayah ini balik kepada Islam," ujarnya.
Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan
2017) membabitkan 35 fasal, namun yang menjadi perbualan hangat adalah
isu sebat secara terbuka.
RUU itu juga antara lain memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat
kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video
digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam,
Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin
Daud yang kemudiannya disokong sebulat suara oleh ADUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan