SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi memberitahu seramai 40 saksi bakal dipanggil
memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan abang pemimpin
Korea Utara Kim Jong Nam.
Perkara itu diberitahu Timbalan pendakwa raya Iskandar Ahmad hari ini
di mahkamah Shah Alam, daripada kalangan 40 saksi itu ialah 10 pakar.
Hakim Datuk Azmi Ariffin hari ini menetapkan tarikh perbicaraan warga
Indonesia, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong pada 2 Oktober
ini.
Iskandar berkata pihak pendakwaan menyerahkan sejumlah 44 dokumen
termasuk rakaman kamera litar tutup CCTV kepada peguam mewakili 2 wanita
itu.
Bagaimanapun, permohonan peguam Doan, Hisyam Teh dan Naran Singh, untuk
mendapatkan kenyataan saksi pakar yang bakal dipanggil pendakwa,
ditolak pendakwa.
Memetik laporan FMT, kedua-dua suspek, Doan dan Siti Aisyah tiba di mahkamah hari ini dengan kawalan ketat polis.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada 30 Mei lepas, Mahkamah Majistret Sepang memindahkan kes itu ke
Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan permohonan Pengarah
Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad supaya kes itu dipindahkan
ke Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah.
Jong Nam dilaporkan berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki
penerbangan ke Macau, apabila 2 wanita mendekatinya lalu menyapu mukanya
dengan cecair beracun yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf
VX.
Wanita itu kemudian dikenal pasti polis sebagai Doan dan Siti Aisyah.
Peristiwa pembunuhan Jong Nam mencetuskan krisis diplomatik antara Korea Utara dan Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan