Zunar mengumumkan pembatalan itu selepas Pemuda Umno
Pulau Pinang mengedarkan poster menggesa ahlinya 'mengunjungi' pameran
bertajuk 'Ketawa Pink Pink' yang dijadualkan berlangsung di George Town,
esok.
PETALING JAYA: Kartunis kontroversi, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar membatalkan pameran lukisannya di Pulau Pinang, esok, atas faktor keselamatan kerana bimbang dengan ancaman daripada sebuah kumpulan “pengacau”.
Zunar dalam satu kenyataan hari ini berkata, pameran bertajuk “Ketawa Pink Pink” dijadualkan berlangsung di Lebuh Pantai, George Town, mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Bagaimanapun, beliau mendakwa pameran itu terpaksa dibatalkan selepas beliau mendapat tahu Pemuda Umno Pulau Pinang mengedarkan poster menggesa ahlinya “mengunjungi” pameran berkenaan.
Beliau mendakwa sayap Umno itu sudah beberapa kali menjadi “sangat ganas dan agresif” seperti yang berlaku pada pameran kartunnya di Komtar, November lalu.
“Berdasarkan pengalaman tahun lalu, ini bukan satu kunjungan biasa, tetapi lebih kepada ugutan fizikal.
“Seperti tahun lalu, tiada jaminan polis akan mengambil tindakan untuk menghentikannya. Oleh itu, saya tiada pilihan kecuali membatalkan pameran itu atas alasan keselamatan,” katanya.
Pada 25 November 2016, Zunar dikepung dan diancam kira-kira 30 individu tidak dikenali ketika mempamerkan karya satira mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak di Komtar, Pulau Pinang.
Zunar berkata, dalam kejadian 2.45 petang itu, beliau hampir ditumbuk, tetapi polis dapat meleraikan kumpulan itu.
“Saya didatangi kira-kira 30 orang bertindak agresif secara fizikal menyuruh saya menurunkan lukisan yang dipamerkan. Mereka mengancam dan mengepung saya.
“Tidak ada kerosakan yang berlaku kerana saya turunkan lukisan saya. Kalau saya masih ada di sana, tidak tahulah apa yang akan berlaku,” katanya kepada FMT.
Zunar berkata, ancaman itu tidak menghalang beliau daripada terus menyebarkan mesej anti-rasuah melalui kartunnya dan karya yang sepatutnya dipamerkan esok akan dijadikan buku kartun tidak lama lagi.
Beliau berkata, karya itu meliputi skandal 1MDB, saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan berlian merah jambu.
Katanya, beliau juga bercadang menjadikan karyanya “sumber terbuka digital” untuk memudahkan orang ramai memuat turun dan mengedarkan buku itu secara percuma, selepas beliau mempunyai penaja untuk membuat cetakan pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan