Sabtu, 29 Julai 2017

Anak luar nikah: Beri kesan besar kepada masyarakat Islam

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umat Islam perlu memikirkan implikasi buruk pada jangka masa panjang yang bakal berlaku sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini, yang membolehkan anak luar hikah di'bin'kan dengan bapanya diteruskan.
 
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mahfodz Mohamed berkata, ini kerana menurut hukum syarak anak luar nikah adalah mahram bagi sebelah ibunya, tetapi ia menjadi bukan mahram dengan bapanya kerana tiada hubungan nasab antara mereka berdua yang diakui syariat.
 
Jelasnya lagi, ini termasuk kaum keluarga daripada sebelah bapa anak berkenaan.
 
"Memanglah dari segi zahirnya nampak bagus sebab budak yang tak berdosa itu dapat di'bin'kan dengan bapanya yang melakukan perkara tersebut di luar nikah.
 
"Cuma, kerana melibatkan hukum, maka nanti akan bersangkut-paut dengan saudara-mara, bapanya, keturunnya macam mana, jadi itu adalah masalah yang bakal berlaku nanti.
 
"Implikasinya mestilah tentang hubungan kekeluargaan, bila dah di'bin'kan dengan bapa yang dah 'buat kerja tu', maknanya nanti dengan adik beradik bapa (bukan mahram). Dari segi hukumnya tidak boleh sebab dia bukan anak yang sah taraf, jadi bila dah di'bin'kan tu, maknanya (membenarkan) ada kaitan keluarga bapanya, jadi ini implikasi besar," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkatra demikian mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis lalu yang membenarkan anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini layak berbinkan nama bapanya.
 
Keputusan mengejutkan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.
 
Susulan itu, Mahfodz menyatakan keputusan yang dibuah Mahkamah Rayuan itu sememangnya tidak selari dengan apa yang ditentukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
 
Ujarnya, hakim di mahkamah rayuan itu perlulah merujuk terlebih dahulu fatwa yang telah ditetapkan kerana ia membabitkan hukum dan syariat Islam.
 
Malah katanya, ia tidak seharusnya berlaku kerana Islam memang mengharamkan perkara tersebut dan mereka seharusnya lebih mementingkan undang-undang Islam.
 
"Benda tu dari segi hukumnya dah diputuskan oleh majlis fatwa kebangsaan jadi sepatutnya mahkamah tu perlu ambil kira fatwa yang telah dikeluarkan oleh majlis fatwa kebangsaan tu.
 
"Fatwa dah ada, sepatutnya hakim perlu rujuk fatwa kebangsaan tu sebab sebagai orang Islam, kita ada pegangan kita sendiri, bukan bebas ikut apa yang kita nak," ujarnya.
 
Sementara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada hari ini berkata, agensi itu tetap meneruskan pelaksanaan penasaban anak tidak sah taraf orang Islam mengikut keputusan Majlis Fatwa.
 
Dalam masa yang sama, agensi itu kini dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.
 
 

Tiada ulasan: