Sabtu, 29 Julai 2017

Mekanisme harga secara harian OK tapi perlu ada subsidi - Mahfu

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bersetuju sekiranya mekanisme penetapan harga siling petrol dan diesel secara mingguan ditukar kepada harian sebagaimana yang dicadangkan baru-baru ini.
 
Namun wakil rakyat PAS ini menegaskan cadangan itu memerlukan penelitian secara menyeluruh termasuk menentukan had harga maksimum agar tidak membebankan rakyat.
 
"Yang pertama dari segi prinsipnya konsep yang dibuat sekarang ini iaitu secara mingguan ini satu perkara yang sangat baik dan menguntungkan pengguna dan juga negara.
 
"...dan secara harian juga saya boleh terima," katanya kepada Antarapos.
 
Mahfuz mengulas mengenai formula penetapan harga bahan api yang dicadangkan oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin ditukar daripada mingguan kepada harian.
 
Bagaimanapun Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata kerajaan setakat ini belum berhasrat untuk menukar mekanisme berkenaan.
 
Sehubungan itu, Johari berkata, penetapan harga minyak secara mingguan akan diteruskan buat masa ini sehingga keputusan lebih baik dapat dicapai yang dapat memberi faedah kepada semua pihak termasuk rakyat serta kalangan pengusaha bahan api berkenaan.
 
Subsidi diperlukan sekiranya perubahan harga terlalu tinggi
 
Justeru Mahfuz berkata sekiranya harga pasaran minyak dunia melambung terlalu tinggi maka kerajaan perlu melaksanakan sistem subsidi bagi mengurangkan harga tersebut.
 
"Tetapi ia harus ada pertimbangan khasnya iaitu bila harga pasaran minyak dunia naik sampai pada kadar tertentu maka pada waktu itu kembali kepada sistem subsidi untuk melindungi kepentingan pengguna.
 
"Sistem yang ada sekarang ini bagi saya kalau harga minyak itu jatuh ia menguntungkan pengguna sebab kita akan dapat harga yang lebih murah," katanya.
 
Ini kerana tegas beliau, rakyat akan terbeban dek kenaikan harga yang terlalu tinggi sekiranya subsidi tidak diberikan ketika itu dan ia akan memberi kesan ketara terhadap pengguna.
 
"Tapi sistem yang ada ini kalau harga minyak itu tinggi kita terpaksa bayar duit banyak tanpa subsisi maka ini akan mendatangkan masalah beban sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat kerana ia akan membawa kepada kenaikan harga barang dan sebagainya sedangkan pendapatan kita itu tidak melonjak naik.
 
"Sebab itu bagi saya melaksanakan sistem harian seperti dilaksanakan di negara luar satu perkara yang saya setuju tapi mesti ada had iaitu satu kadar contohnya bila harga minyak dunia naik sehingga 70 Dolar satu tong.
 
"Jadi pada waktu itu harus disubsidikan kerana membebankan rakyat," katanya.
 
 

Tiada ulasan: