Isnin, 24 Julai 2017

Mayat bayi 6 hari ditemui dalam perigi

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
JASIN: Seorang bayi lelaki berusia enam hari ditemui mati di dalam perigi sedalam 20 kaki, disyaki dibunuh oleh ahli keluarga sendiri di Kampung On Lok, Batang Melaka, di sini, malam tadi.
 
Mayat bayi sempurna fizikal dan masih berbalut kain lampin putih itu ditemui orang awam sebelum dikeluarkan dari perigi dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Balai (BBP) Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
 
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, bayi itu dilaporkan hilang jam 7.45 malam kelmarin oleh bapa mangsa yang hadir ke Balai Polis Batang Melaka.
 
Katanya, susulan laporan itu, siasatan lanjut dilakukan, namun terdapat keraguan mengenai kesahihan kehilangan bayi itu.
 
"Pada awalnya, kita mengklasifikasikan kes ini sebagai orang hilang, namun terdapat keraguan mengenai bayi ini hilang.
 
"Berdasarkan laporan yang dibuat, kali terakhir bayi berkenaan dilihat sedang tidur di dalam bilik bersama ibunya pada jam 6.30 petang," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, malam tadi.
 
Arshad berkata, pihak polis, termasuk pasukan forensik bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat daripada jiran yang mengesyaki terdapat mayat bayi di dalam perigi di belakang rumah keluarga mangsa.
 
Beliau berkata, pihaknya menahan enam suspek, termasuk ibu dan bapa bayi itu.
 
"Mereka dijangka direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
 
"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya.
 
 

Tiada ulasan: