KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut
kerajaan DAP Pulau Pinang supaya tidak berdolak-dalih bersabit isu untuk
menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata kerajaan
pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu tidak perlu meletakkan pelbagai
syarat untuk menandatangani ikrar terbabit.
Memetik laporan BH Online, menurut beliau IBR bukan satu bentuk
paksaan, sebaliknya ia hadir dari kesedaran setiap agensi dan kerajaan
negeri dalam membendung amalan rasuah di negara ini.
"Saya tak tahu hebat betul Pulau Pinang ini, terpulanglah dia nak buat
ke tidak. Tidak perlu berdolak dalik, biarlah dia sendiri saja tak payah
buat, ini komitmen negeri untuk tandatangan bagi memastikan mereka
memang mahu bebas rasuah.
"IBR satu perkara yang dibuat secara sukarela, kita (SPRM) pelopor,
tapi yang nak buat itu dia akan hubungi SPRM, macam hari ini bukan kita
minta tapi Tan Sri (Khalid Abu Bakar) datang sendiri," katanya.
Katanya, tidak ada satu negeri pun yang menghubunginya secara terus,
sebaliknya mana-mana negeri yang mahu melafazkan ikrar itu akan
melakukannya secara sukarela, dengan menghubungi pejabat SPRM negeri.
"Ini kesungguhan kerajaan negeri dan agensi. Bila nampak sukarela, ada
keikhlasannya. Mereka boleh buat macam PDRM, yang dapat lakukan di
seluruh negara, ini kita kagum. Kalau buat secara paksa rakyat tidak
yakin, " katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis IBR
Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat
Latihan Polis (PULAPOL), di sini.
Terdahulu IBR polis dilafazkan sendiri Khalid, turut disaksikan sendiri
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Selepas melafaz ikrar, Khalid dan Dzulkifli menandatangani dokumen
bebas rasuah sambil disaksikan sendiri Ahmad Zahid, serta lebih 200
anggota PDRM yang bersama melafazkan ikrar berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan