Sabtu, 29 Julai 2017

DUA SEPUPU YANG "KE LAUT"

shahbudindotcom



Presiden UMNO, Najib Razak menegaskan, parti itu tidak pernah bermain dengan dimensi politik yang menakut-nakutkan rakyat, sebaliknya sentiasa memberi keyakinan dan pengharapan kepada mereka.

Katanya, parti yang memainkan politik menakut-nakutkan rakyat ialah pihak yang tidak ada kuasa dan mahu menumbangkan parti yang sedang memerintah negara.

Sehubungan itu, tegas beliau ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Perak, rakyat mempunyai pilihan dalam pilihanraya umum akan datang sama ada memilih Pakatan Harapan yang diterajui DAP atau terus bersama BN yang ditunjangi UMNO.

Benarkah kata-kata Najib bahawa UMNO tidak bermain dengan politik menakut-nakutkan rakyat?
Siapakah yang selalu menjerit perkataan "Hidup Melayu" selama ini?

Apakah tujuan perkataan itu dilaungkan sedangkan tidak pernah kedengaran kaum-kaum lain berteriak melaungkan "Hidup Cina", "Hidup India", "Hidup Kadazan", "Hidup Iban" dan sebagainya?

Tidakkah laungan itu memberi makna ketakutan dan untuk menakutkan?

Siapakah yang pernah mengingatkan bahawa Melayu akan terbangsat jika UMNO hilang kuasa?

Siapakah juga yang mengatakan hanya UMNO pembela kepada orang-orang Melayu dan mereka dikatakan akan merempat macam di Singapura jika  parti itu tidak lagi berkuasa?

Apakah semua itu bukan menakut-nakutkan namanya?

Bahkan, dalam keadaan basah lagi bibir Najib berucap di Parit dengan mengatakan UMNO tidak bermain dengan politik menakut-nakutkan rakyat, apakah makna peringatan beliau bahawa rakyat menpunyai pilihan sama ada memilih Pakatan Harapan yang diterajui DAP atau terus bersama BN yang ditunjangi UMNO?

Tidakkah beliau sendiri sedang menakut-nakutkan rakyat dengan peringatan itu?

Bila Pakatan Harapan diterajui oleh DAP?

Siapa yang berada di tiga kedudukan teratas dalam hireaki kepimpinan Pakatan Harapan?

Bukankah Salleh Said Said Keruak pernah mengatakan DAP telah dipinggirkan berikutan tiada pemimpin parti itu dalam tiga kedudukan teratas Pakatan Harapan?

Kenapa Najib masih terbelenggu dengan stigma lama dan bercakap cuma berdasarkan pemilikan kerusi Parlimen yang dimiliki DAP yang dimenanginya dalam pilihanraya lalu?

Apakah tidak mungkin dalam pilihanraya akan datang,  kedudukan akan berubah di mana PKR, Amanah dan Bersatu akan memiliki lebih kerusi Parlimen berbanding DAP?

Adakah ketakutkan hilang kuasa dan penolakan rakyat yang semakin membesar telah membuatkan Najib gelabah, keliru dan celaru dengan apa yang diperkatakannya sehingga hujah-hujahnya macam nampak "ke laut" saja?
Bersama Najib dengan hujah "ke lautnya", sepupu beliau, Hishammuddin Hussein yang diura-ura sedang diprojekkan untuk dinaikkan pangkat lebih tinggi sehingga ketika ini diberi dua jawatan menteri, turut sama keliru dan celaru dengan abang sepupunya itu.

Ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di hari yang sama dengan Najib berucap di Perak, beliau menggesa Pakatan Harapan agar memulakan siasatan terhadap Tun Mahathir sekarang dan tidak menunggu setelah memperolehi kuasa untuk berbuat demikian.

"Apa yang menjadi tanda-tanya, kenapa nak tunggu menang pilihanraya baru nak siasat?" soal beliau.

Hello bro....macam mana Pakatan Harapan nak memulakan siasatan jika belum ada kuasa dalam tangan?

Tunggulah ada kuasa dulu kerana selepas siasatan, ia perlu disusuli dengan tindakan dan hukuman. Semua itu hanya boleh dilakukan setelah kuasa berada dalam genggaman.

Tun Mahathir sebelum ini pernah secara terbuka mengalu-alukan untuk dirinya disiasat setelah Pakatan Harapan berkuasa berkaitan pentadbirannya selama 22 tahun jika didapati beliau melakukan apa-apa kesalahan atau tindakan yang merugikan negara.

Tetapi, tegas bekas Perdana Menteri itu, tumpuan ketika ini harus diutamakan untuk menyingkirkan Najib terlebih dahulu kerana bala dan bahana daripada kepimpinannya amat besar dan merosakkan kehidupan rakyat serta negara.

Kalau Tun Mahathir sendiri bersikap terbuka dan tidak takut untuk disiasat, apa lagi yang Hishammuddin perlu bimbangkan?

Tunggu sajalah nanti bila UMNO dan BN tumbang, Tun Mahathir atau Najib yang akan lari lintang-pukang?


Tiada ulasan: